am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon, Shaheizy Sam, 41, sanggup menaikkan berat badannya lebih 20 kilogram (kg) demi melakonkan watak dalam filem terbarunya yang masih dirahsiakan.
Sam berkata, dia mengambil masa empat bulan untuk menaikkan berat badan dari 70kg ke lebih 90kg ketika ini.
“Saya paksa diri makan makanan tidak sihat yang tinggi lemak, gula dan minyak serta makanan segera seperti burger dan ais krim.
“Memang saya berasa perubahan yang tidak bagus bila berat badan naik mendadak. Kesannya saya cepat penat, letih, mengantuk dan cepat berpeluh,” katanya kepada Harian Metro.
Sam berkata, dia pernah melakukan perkara sama pada 2020 bagi menjiwai watak dalam filem psikologi thriller berjudul Indera.
“Saya berlakon kerana minat mendalam dan sanggup menaikkan berat badan untuk menjiwai watak. Selepas projek filem itu selesai, saya akan turunkan semula kepada berat badan asal kerana ia penting untuk kesihatan.
“Pada masa sama, saya juga baru lancarkan produk untuk menurunkan berat badan dan pastinya penting untuk saya kembali kepada berat badan asal untuk meyakinkan orang,” katanya.
Ditanya mengenai penerimaan isterinya, Syatilla Melvin, Sam berkata, isterinya itu turut gembira bila dia menaikkan berat badan kerana dapat sama-sama menikmati makanan.
“Isteri saya gembira bukan sebab suka tengok saya gemuk, tetapi sebab dia pun dapat makan sekali kerana bila saya diet, saya tak dapat makan makanan yang dia masak di rumah,” katanya.
Terdahulu, kakak Sam yang juga pelakon, Datin Seri Zizie Izette, 44, membuat hantaran di Instagram Story dengan memuji kesungguhan Sam yang sanggup menaikkan berat badan semata-mata memenuhi tuntutan kerja sekali gus mencuri perhatian pengikutnya di media sosial.
© New Straits Times Press (M) Bhd