Hujan lebat dan ribut petir di Perak, Kedah dan KL

Hujan lebat dan ribut petir di Perak, Kedah dan KL

PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat serta ribut petir di beberapa kawasan sekitar Semenanjung di Perak yang melibatkan daerah Manjung dan Perak Tengah pagi ini.

Menerusi kenyataan di Youtube, keadaan itu turut melibatkan hujan renyai hampir di semua negeri di Semenanjung Malaysia.

Negeri yang turut terkesan selain Perak ialah Kedah, Kelantan, Terengganu, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Johor.

“Cuaca kelihatan mendung di kebanyakan kawasan pada pagi ini. Walaupun keadaan hujan lebat dan ribut petir sedang berlaku, ia dijangkakan akan beransur reda menjelang lewat pagi,” kata MetMalaysia.

Sementara itu, bagi negeri Sabah dan Sarawak, hujan beserta ribut petir sedang berlaku di kawasan Pantai Barat, pedalaman Sabah, serta Wilayah Persekutuan Labuan.

Di Sarawak, bahagian Miri dan Limbang turut mengalami cuaca buruk, dan hujan dijangka berterusan sehingga lewat pagi nanti.

“Menjelang petang, MetMalaysia menjangkakan hujan akan lebih tertumpu di negeri-negeri Pantai Timur Semenanjung seperti Kelantan, Terengganu, dan Pahang.

MetMalaysia turut menjangkakan beberapa kawasan sekitar Sabah dan Sarawak juga mengalami cuaca buruk ketika ini. – UTUSAN

Scroll to Top