Golongan muda ada peluang luas

Golongan muda ada peluang luas

Kuala Lumpur: Golongan muda dan pekebun kecil disarankan supaya berani mencuba teknologi baharu terutama bagi meningkatkan hasil tanaman.

Pengarah Pemasaran MQH Resources Sdn Bhd, Ben Hamzah berkata tidak dinafikan pertanian adalah sektor penting bagi negara terutamanya ketika berdepan dengan cabaran seperti pandemik Covid-19.

Katanya, sumber makanan tempatan yang sustainable adalah kunci untuk memastikan kestabilan ekonomi negara.

Justeru sektor pertanian memainkan peranan penting dalam memastikan negara tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari luar negara.

“Dalam usaha menggalakkan lebih ramai golongan muda menyertai sektor pertanian kini teknologi semakin dipermudahkan dalam proses pertanian.

“Jika dibandingkan dengan dahulu, pekebun perlu melaksanakan pelbagai proses seperti penggunaan baja kimia, organik dan kapur secara berasingan.

“Namun, dengan kemajuan teknologi, kerja-kerja ini kini dapat dilakukan sekali gus menjimatkan masa dan tenaga. Malah jika kena pada caranya akan mendapat hasil yang lebih baik dan bertahan lama,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya berasa kesal apabila melihat negara luar lebih berminat terhadap teknologi Malaysia, sedangkan pekebun tempatan masih ragu-ragu untuk mencuba.

“Jika negara luar berminat dengan teknologi kita, kenapa pekebun kita sendiri tidak melihatnya dengan lebih mendalam?” tegasnya.

Hamzah menyeru pekebun Malaysia agar lebih terbuka dalam mempelajari teknologi baru yang tersedia.

Selain itu kemajuan dalam teknologi drone dan mesin pertanian moden juga dilihat mampu membantu meningkatkan produktiviti.

Namun, kelemahan dari segi sistem pembayaran masih menjadi satu isu yang perlu diperbaiki.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan pembabitan belia melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Menerusi TVET sudah pasti ramai generasi muda yang lebih inovatif, terutama dalam bidang penyelidikan dan penghasilan sumber makanan tempatan.

“Jadi sokongan penuh daripada kerajaan dan kerjasama antara pihak-pihak berkepentingan akan memastikan industri pertanian Malaysia terus maju dan berkembang. Secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top