Perdana Menteri tinjau banjir di Kedah, 7,722 mangsa terkini

Perdana Menteri tinjau banjir di Kedah, 7,722 mangsa terkini

ALOR SETAR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan mengadakan tinjauan banjir di Kedah, hari ini yang sehingga pukul 10 pagi ini merekodkan 7,722 mangsa di 42 pusat pemindahan sementara (PPS).

Beliau dijangka melawat PPS Stadium Sultan Abdul Halim di Suka Menanti, Kota Setar yang kini menempatkan seramai 890 mangsa sebelum ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Agama Kedah yang didiami 463 mangsa.

Dalam tinjauan itu, Perdana Menteri juga dijadual akan berkunjung ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gajah yang menempatkan 207 mangsa.

Kesemua mangsa di tiga PPS itu merupakan sebahagian 3,493 mangsa banjir di Kota Setar yang merekodkan jumlah tertinggi. Seramai 1,869 mangsa pula dicatatkan di daerah Kubang Pasu.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kedah, Datuk Zulkhairi Zainol Abidin berkata, sebanyak 1,127 mangsa daripada 329 keluarga kini berada di lapan PPS di Pendang.

“Tiga lagi daerah yang dilanda banjir adalah Pokok Sena, Kuala Muda dan Bandar Baharu yang masing-masing merekodkan 911; 184 dan 138 mangsa.

“Keseluruhan PPS yang masih aktif di enam daerah ini berjumlah 42 buah dengan Kota Setar dan Kubang Pasu memiliki 25 PPS yang kebanyakkan mula dibuka sejak Isnin lalu,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top