Kedah terus catat peningkatan mangsa banjir

Kedah terus catat peningkatan mangsa banjir

ALOR SETAR: Seramai 494 orang lagi mangsa banjir di Kedah mendaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) hari ini, menjadikan jumlah terkini 7,179 orang yang dicatatkan setakat pukul 12 tengah malam.

Kota Setar terus menjadi daerah tertinggi apabila seramai 3,286 mangsa daripada 1,069 keluarga berlindung di 13 PPS yang diaktifkan sejak Selasa lalu.

Sebanyak 1,632 mangsa daripada 589 keluarga pula berada di 12 PPS yang dibuka di sekitar daerah Kubang Pasu, manakala 910 mangsa daripada 270 keluarga ditempatkan di lima PPS di Pokok Sena.

Sementara itu, jumlah mangsa di Pendang juga meningkat kepada 1,039 orang berbanding 806 yang direkodkan pada pagi ini, sementara 184 orang kekal berada di PPS sekitar Kuala Muda.

Dua lagi daerah yang terjejas banjir adalah Bandar Baharu yang mencatatkan 128 mangsa, manakala sebuah PPS di Kulim yang sebelum ini menempatkan 64 mangsa ditutup setelah banjir kawasan itu dilaporkan pulih setakat ini. – UTUSAN

Scroll to Top