Adamas perlu perluas ujian doping – Malek

Adamas perlu perluas ujian doping – Malek

ferzalfie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Legenda bina badan negara, Datuk Abdul Malek Mohamed Noor, menyeru supaya ujian doping tidak hanya dilakukan pada hari pertandingan, tetapi juga semasa sesi latihan.

Menurut bekas Mr Universe itu, beliau mencadangkan ujian doping dilakukan di luar musim pertandingan bagi memastikan atlet bina badan bebas daripada penggunaan bahan terlarang.

“Kalau kita mahu menangkap mereka (atlet yang guna bahan terlarang), buat ujian waktu latihan atau musim rehat. Kebanyakan atlet menggunakan bahan terlarang pada waktu berkenaan,” kata Malek ketika ditemui oleh media baru-baru ini.

Malek melahirkan rasa kecewa terhadap atlet yang terbabit dalam penggunaan bahan terlarang dan menegaskan bahawa walaupun steroid dapat membantu atlet membina tubuh sasa dengan cepat, risikonya amat besar.

“Mereka mengambil bahan terlarang kerana ingin membesarkan otot dengan cepat, tetapi tidak sedar kesan buruknya terhadap jantung, buah pinggang dan pelbagai masalah kesihatan lain,” katanya.

Tambah Malek, kepentingan kesihatan dan integriti dalam sukan bina badan harus menjadi keutamaan bagi semua atlet.

Sebelum ini, Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) mengesahkan bahawa seorang atlet bina badan yang menyertai Kejohanan Bina Badan Kebangsaan ke-53 di Johor Bahru bulan lalu didapati positif dalam ujian doping.

Keputusan analisis menunjukkan kehadiran bahan terlarang seperti Stanozolol dalam sampel ujian atlet.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top