Atletico atasi Leipzig 2-1

Atletico atasi Leipzig 2-1

Madrid: Tandukan lewat permainan oleh pemain pertahanan Jose Maria Gimenez memberikan Atletico Madrid kemenangan 2-1 mengatasi RB Leipzig dalam perlawanan pembukaan Liga Juara-Juara awal pagi tadi.

Pasukan pelawat dari Jerman mengambil peluang mengejutkan tuan rumah pada minit keempat hasil tandukan penyerang Benjamin Sesko selepas serangan balas yang pantas.

Bagaimanapun, Antoine Griezmann melakukan rembatan voli ke sudut atas pada minit ke-28 untuk menyamakan kedudukan.

Atletico mendominasi perlawanan dengan 20 percubaan ke gawang secara keseluruhan, tetapi tidak sampai minit ke-90 mereka akhirnya berjaya mencari gol kemenangan dengan Gimenez menanduk masuk hantaran lintang Griezmann.

“Kami tahu bahawa sebarang kesilapan boleh menyebabkan kami kehilangan gol dan itulah yang berlaku, tetapi kami cukup matang untuk bertenang dan berusaha kembali dari belakang.

“Untuk bermula dengan langkah kanan dan menang ia sangat penting. Setiap perlawanan Liga Juara-Juara adalah sukar, tidak kira siapa lawan. Kami perlu bekerja keras dan teruskan seperti ini.

“Kami mencuba sehingga saat terakhir. Kami mempunyai skuad yang mampu melakukan perubahan seperti hari ini. Kami berada di landasan yang betul, tetapi ia hanya permulaan,” kata Griezmann.

Atletico menekan Leipzig dari awal dengan Angel Correa dan Griezmann kedua-duanya mencipta peluang baik pada awal perlawanan, tetapi satu kesilapan oleh pemain tengah Rodrigo de Paul pada minit keempat memberikan peluang serangan balas kepada pelawat yang membolehkan mereka mendahului.

Atletico akan ke Lisbon untuk berdepan Benfica manakala Leipzig akan bertemu Juventus di Turin pada hari kedua perlawanan Liga Juara-Juara pada bulan Oktober.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top