Psychic Fever teruja di Malaysia

Psychic Fever teruja di Malaysia

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kumpulan J-Pop sensasi Jepun, Psychic Fever bakal menghiburkan peminat mereka di Malaysia, Sabtu ini di Zepp Kuala Lumpur, di sini. 

Kumpulan dianggotai tujuh anak muda berbakat iaitu Tsurugi, 27; Ryoga Nakanishi, 26; Ren Watanabe, 24; Jimmy, 24; Kokoro Kohatsu, 23; Ryushin Handa, 22, dan Weesa, 20,  hadir ke sini untuk siri konsert Heat Psychic Fever Asia Tour 2024.

Tsurugi berkata, mereka teruja ingin menjayakan konsert solo pertama di Malaysia sempena sesi jelajah Asia itu demi peminat yang mengenali dan sentiasa memberikan sokongan.

“Kami gembira dapat hadir juga ke Malaysia sebagai salah satu lokasi siri konsert Heat Psychic Fever Asia Tour 2024 ini. Harapan kami adalah semoga peminat di sini akan terhibur.

“Terima kasih juga terhadap sokongan diberikan selama ini dan kami akan berusaha menghiburkan anda semua (penonton) dengan persembahan menarik dan penuh bertenaga,” katanya ditemui di ibu kota, hari ini.

Menurutnya, Malaysia juga dilihat sebagai negara sangat indah dan yakin sambutan diterima daripada peminat Psychic Fever di negara ini untuk tiket konsert itu juga menggalakkan. 

Antara lagu-lagu popular Psychic Fever ialah The Heat, Love Fire, BEE-PO, Up and Down, HABANERO, Hotline, Pinky Swear, Tokyo Spiral, SPICE, Just Like Dat dan banyak lagi.

Ditubuhkan pada 2019 dengan sembilan anggota, namun dua daripadanya sudah berundur dan album studio pertama Psychic Fever iaitu P.C.F dilancarkan pada 13 Julai 2022.

Bernaung di bawah syarikat rakaman, LDH Record dari 2002 hingga sekarang, difahamkan tujuh anggota Psychic Fever adalah gabungan kolektif daripada dua kumpulan, Exile Tribe dan Jr Exile.

Kerjaya seni nyanyian yang cemerlang dengan sokongan padu kelab peminat dinamakan ForEVER, Psychic Fever cukup dikenali dengan genre muzik dance pop, R&B dan hip hop.

Pada tahun ini juga, Psychic Fever sudah melancarkan EP digital mereka berjudul 99.9 Psychic Radio pada 19 Januari lalu serta pelancaran EP kedua iaitu Psychic File II yang memuatkan lagu The Heat pada 3 April lalu.

Sebelum persembahan di Malaysia, siri konsert Heat Psychic Fever Asia Tour 2024 sudah menemui penonton di Chiang Mai, Thailand pada 14 September lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top