Alat kelui meletup diguna Hezbollah dari Taiwan

Alat kelui meletup diguna Hezbollah dari Taiwan

NEW YORK – Israel didakwa menyembunyikan bahan letupan dalam kumpulan baharu alat kelui (pager) buatan Taiwan yang diimport ke Lubnan, menurut sumber pegawai Amerika Syarikat yang diberi taklimat mengenai operasi itu.

Alat kelui itu dibeli dari Gold Apollo di Taiwan, telah ‘diusik’ sebelum sampai ke Lubnan.

Kebanyakannya adalah model AP924, walaupun tiga model Gold Apollo yang lain disertakan dalam penghantaran tersebut.

Bagaimanapun, Gold Apollo berkata, ia tidak membuat alat kelui yang digunakan dalam letupan itu.

Pengasas syarikat itu, Hsu Ching-Kuang berkata, alat kelui yang digunakan dalam letupan tersebut dibuat oleh sebuah syarikat di Eropah yang mempunyai hak untuk menggunakan jenama syarikat Taiwan itu.

Bahan letupan, sekecil 1oz (28g) hingga 2oz, ditanam di sebelah bateri dalam setiap alat kelui, kata sumber tersebut yang dipetik oleh New York Times.

Suis juga dibenamkan yang boleh dicetuskan dari jauh untuk meletupkan bahan letupan tersebut.

Pada pukul 3.30 petang di Lubnan semalam, alat kelui menerima mesej seolah-olah ia datang daripada kepimpinan Hezbollah.

Sebaliknya, mesej itu mengaktifkan bahan letupan.

Menteri Kesihatan Lubnan Firass Abiad memberitahu media, sekurang-kurangnya sembilan orang terbunuh dan hampir 3,000 cedera.

Peranti itu dikatakan telah diprogramkan untuk berbunyi bip selama beberapa saat sebelum meletup.

Hezbollah telah menuduh Israel mendalangi serangan itu, tetapi hanya menerangkan butiran terhad tentang pemahamannya berhubung operasi itu.

Israel tidak mengulas mengenai serangan itu.

Terdahulu pada 2024, pemimpin Hezbollah, Hassan Nasrallah mengehadkan penggunaan telefon bimbit secara ketat, yang dilihatnya semakin terdedah kepada pengawasan Israel.

Difahamkan lebih 3,000 alat kelui telah ditempah dari Gold Apollo di Taiwan.

Hezbollah mengedarkan alat kelui kepada ahlinya di seluruh Lubnan, dengan sebahagian daripadanya mencapai sekutu Hezbollah di Iran dan Syria. – Agensi

Scroll to Top