Polis Perak pantau semua premis ada kaitan GISBH

Polis Perak pantau semua premis ada kaitan GISBH

IPOH: Semua premis yang ada kaitan dengan Global Ikhwan Services Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) di negeri ini kini berada dalam radar polis Perak.

Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris bagaimanapun enggan mendedahkan lokasi premis dan rumah amal yang kini dalam pemerhatian pihaknya.

“Buat masa ini, semua yang ada kaitan dengan (GISBH) dalam pemerhatian dan radar kita. Berkaitan lokasi dan operasi, ia belum boleh didedahkan setakat ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Meraikan Pesara dan Bakal Pesara Kontinjen Perak di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Pada majlis itu, seramai 186 pesara dan bakal pesara bagi tahun 2024 diraikan di mana masing-masing menerima sijil penghargaaan yang disampaikan oleh Azizi.

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 39 lagi rumah amal dikaitkan dengan GISBH di seluruh negara yang didakwa terlibat kegiatan eksploitasi kanak-kanak termasuk kesalahan seksual kini dalam radar pemantauan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan ada tindakan lanjut oleh pihak polis terhadap premis berkenaan susulan serbuan 20 rumah amal berkaitan GISBH yang dilakukan sebelum ini. – UTUSAN

 

Scroll to Top