Perbicaraan Kes Zayn Rayyan Bermula Tahun Depan, Pendakwaan Serah 3 Laporan Forensik Termasuk CCTV | Oh! Media

Perbicaraan Kes Zayn Rayyan Bermula Tahun Depan, Pendakwaan Serah 3 Laporan Forensik Termasuk CCTV | Oh! Media

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini menetapkan tarikh perbicaraan selama tiga minggu berturut-turut berkaitan kes pengabaian kanak-kanak autistik, Zayn Rayyan.

Memetik laporan Kosmo!, perbicaraan didengar selama 15 hari iaitu pada 20 hingga 24 Januari, 3 hingga 7 Februari dan 17 hingga 21 Februari 2025.

zayn rayyan
Kredit foto: Kosmo!

Timbalan Pendakwa Raya iaitu Datin Kalmizah Salleh memaklumkan pihaknya akan mengemukakan 15 orang saksi untuk memberi keterangan pada hari perbicaraan tersebut.

Malah, pihaknya sudah menyerahkan kepada pihak pembelaan dokumen lanjutan iaitu tiga laporan forensik melibatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tempat kejadian, laporan dari syarikat telekomunikasi dan laporan telefon bimbit.

Pada prosiding sebutan hari ini, tertuduh iaitu Zaim Ikhwan Zahari dan Ismanira Abdul Manaf dilihat hadir memakai pakaian serba hitam dan berpimpin tangan.

zayn rayyan

Dalam kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengabaikan Zayn Rayyan di sekitar jalan PJU 10/1 Damansara Damai antara pukul 12 tengah hari 5 Disember 2023 dan pukul 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pasangan yang merupakan orang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka didakwa bersama-sama mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit bersalah, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya.


Scroll to Top