Pengerusi Pusat Pengajian Agama dituduh cabul guru praktikal

Pengerusi Pusat Pengajian Agama dituduh cabul guru praktikal

am@hmetro.com.my

Port Dickson: Pengerusi sebuah Pusat Pengajian Agama swasta di daerah ini dihadapkan di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini, atas pertuduhan mencabul guru praktikal di sekolahnya, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd Hafidz Eshak, 44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.

Berdasarkan pertuduhan, dia menggunakan kekerasan jenayah kepada wanita berusia 19 tahun dengan niat dan maksud melakukan suatu perbuatan mencabul kehormatan mangsa.

Perbuatan itu dilakukan jam 6.40 petang di sekolah agama itu pada 18 Ogos lalu di tingkat satu bangunan.

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Azriff Firdaus Mohamad Ali menawarkan wang jaminan sebanyak RM50,000 susulan kes membabitkan kepentingan awam serta mendapat liputan meluas.

Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam, Datuk Hanif Hassan dan Nur Haifa Husna Zuhaimi memohon jaminan rendah berikutan tertuduh di dalam keadaan kesempitan kewangan.

Terdahulu, Hanif turut membetulkan fakta, anak guamnya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH).

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan agar tertuduh tidak mengganggu mangsa atau mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes akan ditetapkan pada 17 Oktober ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top