Serik dilanda kontroversi

Serik dilanda kontroversi

am@hmetro.com.my

GARA-gara bergurau menyebut nama Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al-Mustafa Billah Shah sebagai kekasihnya, nama pelakon Dayang Areeda turut mencuri perhatian ramai pada tahun lalu.

Menurut Dayang atau nama sebenarnya, Dayang Areeda Datu Abdul Razak, 30, dia juga tidak menyangka gurauan bercinta dengan Tengku Mahkota Hassanal itu mendapat kecaman teruk dari netizen.

“Terus terang, saya berasa serik dan takut bila dikaitkan dengan kontroversi sebegitu kerana ada pihak yang mendakwa dirinya tunang kepada Tengku Mahkota Hassanal buat laporan polis mengenai gurauan saya itu.

“Sebagai peminat, saya berasa tidak salah jika kita ada ‘crush’ (jatuh hati pada seseorang) atau berangan nak berkahwin dengan anak raja. Kalau netizen boleh ada ‘crush’ kenapa saya tidak boleh?

“Lagi pun bukan saya yang cakap dan saya cuma balas komen netizen dan tak sangka orang petik dan perkara itu menjadi tular.

“Apapun, saya sudah beri penjelasan kepada pihak media dan isu itu sudahpun selesai,” katanya kepada Harian Metro.

Pada masa sama, kata pelakon yang dikenali dengan watak antagonis dalam drama Kekasih Paksa Rela dan Masih Ada Rindu untuk Slot Akasia TV3 ini, dia tidak mahu dikaitkan dengan kontroversi sebegitu lagi.

“Kini, saya lebih berhati-hati untuk memuat naik sebarang kandungan atau membalas komen pengikut di media sosial.

“Saya sudah serik dengan kontroversi yang menakutkan hingga membabitkan pihak polis itu,” kata pelakon dari Kudat, Sabah ini.

Bagaimanapun, kata Dayang, sebagai pelakon, dia tidak kisah jika dikaitkan dengan kontroversi membabitkan babak dalam lakonannya.

Antaranya, babak ‘nasi kangkang’ lakonannya berganding dengan pelakon Aliff Aziz dalam drama bersiri Terjerat yang ditayangkan untuk saluran iQIYI baru-baru ini.

“Pada mulanya, saya terkejut kerana ada orang yang ambik shot video drama itu dan cakap babak itu keterlaluan dan ramai yang kecam saya di laman Twitter.

“Saya cuma menjiwai watak Shasha melakonkan babak itu sebaik mungkin mengikut skrip serta mendapat kelulusan dari pengarah. Lagipun cerita itu untuk platform digital dan bukan untuk tayangan di televisyen,” katanya.

Berkongsi perkembangan karier lakonan pula, kata Dayang, dia bersyukur kerana tawaran berlakon tidak putus diterima sejak berkecimpung dalam bidang seni, lapan tahun lalu.

“Saya akur nama lambat naik dan tidak sepopular rakan artis lain. Namun, tawaran berlakon sentiasa ada dan saya masih dapat kepercayaan pengarah dan penerbit sampai sekarang.

“Pada masa sama, saya juga tidak berasa tergugat dengan kehadiran ramai bakat baru yang mewarnai industri seni ketika ini.

“Saya percaya pada soal rezeki dari Allah dan setiap artis baharu atau lama ada rezeki mereka masing-masing,” katanya.

Terbaharu, Dayang terbabit dengan penggambaran drama Wanita Milik Kaiden untuk Slot Akasia, TV3.

Dalam drama bersiri ini dia melakonkan karakter antagonis bergandingan dengan pelakon Shah Jaszle dan ramai lagi.

Sepanjang terbabit dalam lakonan, Dayang sudah berlakon dalam lebih puluhan drama antaranya Derita Untuk Bahagia (Astro Prima), Cik Sempurna (Hypp TV), Isteri Dalam Sangkar, Opsss Terpikat Cik Sombong, Pembancuh Kopi Mr Vampire, Si Kolot Suamiku, Sha & Shah, Semusim Rindu, Cekelat Semanis Honey dan banyak lagi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top