Pengasas bersama MYAirline diarah dedah penyata akaun bank

Pengasas bersama MYAirline diarah dedah penyata akaun bank

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengasas bersama MYAirline, Datuk Allan Goh Hwan Hua, antara tiga defendan yang diarahkan untuk mendedahkan penyata akaun bank mereka dalam satu tuntutan sivil yang sedang berlangsung.

Perkara itu diberitahu peguam N Rajesh yang mewakili 15 plaintif.

Ia selepas Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan yang difailkan bulan lalu oleh defendan Hwan Hua, I-Serve Online Mall Sdn Bhd dan QA Smart PLT untuk menangguhkan pelaksanaan perintah penemuan itu.

Menurut Rajesh yang dipetik laporan FMT hari ini, mahkamah memutuskan tiada keadaan khas yang membenarkan penangguhan sambil mengarahkan plaintif diberi kos sebanyak RM15,000 secara keseluruhan.

Lantaran itu, ketiga-tiga defendan perlu menyerahkan penyata akaun bank mereka kepada plaintif menjelang jam 5 petang pada 26 September ini.

Memetik laporan Jun lalu, terdapat 213 pelabur bertindak memfailkan tuntutan sivil terhadap Hwan Hua berhubung satu skim pelaburan yang didakwa berunsur penipuan.

Tuntutan terbabit menamakan isteri Hwan Hua, Neow Ean Lee sebagai defendan, yang mana wanita itu adalah pengarah dan 17 entiti dikaitkan dengan Hwan Hua, termasuk MYAirline.

Mengikut pernyataan tuntutan, pelabur belum dibayar balik wang yang mereka depositkan dalam entiti korporat di bawah kumpulan syarikat I-Serve, yang dikawal sepenuhnya oleh Hwan Hua.

Plaintif menuntut ganti rugi atas penipuan, kecuaian, konspirasi dan pernyataan tidak bersalah, serta ganti rugi teladan dan teruk. Semuanya akan dinilai oleh mahkamah.

Perbicaraan akan bersambung pada 14 hingga 15 dan 21 hingga 23 Oktober ini, serta 16 hingga 19 Disember ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top