'Jangan keluar dulu, angin ribut kuat mengundang bahaya' – MB Perlis

'Jangan keluar dulu, angin ribut kuat mengundang bahaya' – MB Perlis

am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Menteri Besar Perlis Mohd Shukri Ramli menasihatkan semua penduduk untuk kekal di rumah berikutan hujan lebat yang melanda negeri berkenaan.

Mohd Shukri turut menasihatkan penunggang motosikal untuk mencari tempat berteduh dan hanya meneruskan perjalanan sekiranya hujan sudah berhenti

“Mohon semua duduk di rumah, jangan keluar dulu. Angin ribut kuat mengundang bahaya. Penunggang motor (motorsikal), tolong cari tempat berteduh yang selamat.

“Semoga Allah lindungi kita semua,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Di ruangan komen, Mohd Shukri turut memaklumkan kerajaan negeri sedia membantu penduduk yang terjejas akibat ribut berkenaan.

Pengguna Facebook turut berkongsi beberapa video yang menunjukkan keadaan hujan lebat berserta angin di beberapa tempat.

Malah terdapat juga pokok tumbang di beberapa kawasan sehingga menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Antara kawasan yang terjejas teruk adalah di Kangar, Kepala Batas Sanglang, Jalan Madu Sempering dan Kampung Bakau.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada bagi Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Dalam kenyataan hari ini, MetMalaysia memaklumkan amaran itu berkuat kuasa sehingga Khamis ini.

Amaran itu dikeluarkan hasil analisis beberapa model cuaca dijalankan MetMalaysia terhadap penumpuan angin yang berlaku di utara Semenanjung dan barat Sabah yang dijangka berterusan sehingga Sabtu ini.

Keadaan itu, kata MetMalaysia, berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh lebih panjang di kawasan terbabit, serta angin kencang serta laut bergelora di perairan Laut China Selatan dan Selat Melaka Utara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top