1,074 pegawai dan anggota polis bertugas pada penamaan calon PRK Mahkota

1,074 pegawai dan anggota polis bertugas pada penamaan calon PRK Mahkota

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: Polis Johor menggerakkan seramai 1,074 pegawai dan anggota sepanjang hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, pegawai dan anggota polis terbabit akan mengawal lalu lintas dan keselamatan sepanjang proses penamaan calon berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail di Kluang.

“Pasukan ini akan ditempatkan di lokasi-lokasi strategik bagi memantau situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang mengganggu ketenteraman awam.

“Polis Johor menasihatkan agar calon-calon dan penyokong-penyokong parti terbabit mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar, “katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan tindakan akan diambil sekiranya berlaku sebarang insiden yang mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menyalahi undang-undang.

“Orang ramai dinasihatkan agar terus bersikap matang, saling menghormati dan mengelakkan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan insiden tidak diingini,”katanya.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu semasa mendapatkan rawatan di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini manakala penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September ini.

Mengikut Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang dikemas kini hingga 2 Ogos lalu, DUN Mahkota mempunyai 66,318 pemilih terdiri daripada 61,397 pengundi biasa, 4,410 anggota tentera dan pasangan, 401 anggota polis serta 10 orang pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top