Pemulangan wang mangsa tipu ikut undang-undang bukan ejen

Pemulangan wang mangsa tipu ikut undang-undang bukan ejen

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Tiada jalan pintas untuk mendapatkan semula wang akibat ditipu atau yang sudah dipindahkan ke akaun orang lain.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pihaknya mengesan tawaran yang dibuat ejen yang menawarkan perkhidmatan untuk mendapatkan semula wang akibat penipuan.

Beliau berkata, ejen yang menawarkan perkhidmatan ini dikatakan berupaya untuk memproses urusan pengembalian wang yang dipindahkan ke akaun orang lain.

“Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang ditubuhkan pada tahun 2022 bertujuan untuk menjejaki wang yang telah didepositkan ke akaun suspek, menyekat dan memulangkan semula wang berkenaan kepada mangsa.

“Sejak penubuhannya sehingga Julai 2024, sejumlah lebih kurang RM46 juta berjaya ditahan oleh pihak NSRC dan daripada jumlah berkenaan sebanyak RM510,000 berjaya dipulangkan kepada mangsa penipuan.

“Proses pemulangan wang ini bagaimanapun perlu mematuhi garis

panduan dan undang-undang yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Ramli berkata, polis mewujudkan tatacara tertentu kepada Pegawai Penyiasat untuk menyekat wang yang telah dipindahkan dengan cara perdayaan ke dalam akaun bank suspek.

“Wang berkenaan boleh diserah semula kepada mangsa melalui peruntukan undang-undang di bawah Kanun Tatacara Jenayah (KTJ) Akta 593.

“Antara peruntukan yang digunapakai adalah Seksyen 435 KTJ (bagi tujuan sitaan) dan Seksyen 413 KTJ (bagi permohonan pemulangan wang).

“Semua prosedur ini hanya boleh dilaksanakan oleh pegawai penyiasat sahaja, bukan mana-mana individu persendirian,” katanya.

Menurutnya, proses pemulangan wang kepada mangsa sebenarnya akan mengambil masa kerana mangsa akan dikehendaki hadir ke mahkamah bagi melengkapkan prosedur yang ditetapkan di bawah Seksyen 413 KTJ.

“Adalah ditegaskan, proses pemulangan wang hanya dapat dilakukan oleh pegawai penyiasat dengan pematuhan kepada peruntukan undang-undang sebagaimana dinyatakan tadi.

“Tiada jalan pintas untuk perkara ini samada melalui agen, pertubuhan bukan kerajaan(NGO) atau sebagainya,”katanya.

Beliau turut mengingatkan individu yang membuat laporan di talian 997 NSRC supaya membuat laporan polis secara rasmi.

“Sejak penubuhan NSRC, terdapat kira-kira 11,000 mangsa gagal membuat laporan polis selepas menghubungi NSRC. Kegagalan ini mengakibatkan wang yang disekat tidak dapat diproses dan tidak dapat dipulangkan kepada mangsa.

“Adalah ditegaskan, mangsa-mangsa yang membuat panggilan kepada NSRC berkenaan kes penipuan, juga perlu membuat laporan polis di balai polis berhampiran supaya tindakan sekatan dan pemulangan wang dapat disempurnakan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top