Pau Marti ada formula jinakkan Lubnan

Pau Marti ada formula jinakkan Lubnan

Oleh Firdaus Hashim

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur

Menunggu kesilapan lawan dan mengukuhkan benteng pertahanan antara ramuan terbaik buat skuad Harimau Malaya untuk memerangkap Lubnan dalam aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Ahad ini.

Formula itu dikongsikan pengendali negara, Pau Marti Vicente yang mengakui pasukan di ranking 116 dunia itu cukup ampuh terutamanya dengan kelebihan fizikal dimiliki lawan.

“Saya jangkakan aksi lebih sukar (menentang Lubnan). Mereka lebih kuat dan memiliki kekuatan fizikal lebih baik daripada pasukan ini (daripada Filipina, lawan pada aksi pertama Pestabola Merdeka Rabu lalu).

“Apa yang kita perlu lakukan…kita perlu tampil lebih bersedia daripada mereka, mengambil peluang daripada kesilapan mereka dan lebih bersistem ketika bertahan.

“Jika kita mampu lakukan, tak mustahil kemenangan mampu diraih,” katanya yang berpeluang muncul jurulatih pertama Malaysia memenangi trofi sejak 2013 lalu.

Untuk rekod, kali terakhir skuad Harimau Malaya menjulang piala adalah pada 2013 selepas memenangi Pestabola Merdeka di mana ia kekal sebagai kejuaraan terakhir buat pasukan kebangsaan di pentas antarabangsa selepas sebelum itu menjulang Piala AFF 2010 dan memenangi pingat emas Sukan Sea 2011.

Selepas 2013 itu, pasukan negara hampir menambah koleksi kejuaraan Piala AFF pada 2014 dan 2018 apabila mara ke final namun terpaksa akur sebagai naib juara.

Malah ketika di bawah era Kim Pan-gon juga menyaksikan skuad Harimau Malaya tidak berjaya memenangi sebarang trofi dari 2022 hingga Julai lalu dengan pencapaian terbaik mara ke Piala Asia 2023 di Qatar.

Ujar Vicente lagi, beliau tidak berdepan masalah untuk menurunkan skuad terbaik dalam aksi final itu nanti dengan kesemua pemain termasuk di bangku simpanan sedia diturunkan pada bila-bila masa.

“Kesemua pemain layak berada dalam pasukan ini. Saya gembira kita memiliki ramai pemain yang boleh dimainkan pada bila-bila masa. Kita akan cuba letakkan senarai terbaik untuk perlawanan ini agar kita dapat kemenangan,” katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, Malaysia yang menghuni tangga 134 dunia pernah bertemu dua kali dengan pasukan negara gagal mencapai kemenangan apabila tumbang 2-1, masing-masing pada 2017 dan 2018 dalam Kelayakan Piala Asia 2019 lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top