Misi bantuan untuk rakyat Palestin satu tindakan berani – KM

Misi bantuan untuk rakyat Palestin satu tindakan berani – KM

am@hmetro.com.my

Jasin: Kerajaan Melaka menzahirkan rasa bangga apabila Kerajaan Perpaduan di peringkat Pusat membuat gerakan berani dengan menghantar pasukan penyelamat ke Palestin, baru-baru ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata tindakan pantas dan berani dengan menghantar Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi misi menyelamatkan warga Palestin yang cedera untuk mendapatkan rawatan di negara ini.

Katanya, ia sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara Asia pertama melaksanakan misi keamanan ini walau pun tentera kita menghadapi risiko tinggi.

“Oleh itu, segala susah payah anggota keselamatan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta pasukan keselamatan lain sentiasa beri penghargaan dan penghormatan yang tinggi kerana keharmonian dapat terus dikecapi sehingga kini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Malam Ambang Merdeka peringkat negeri di Dataran Orang Kampung Merlimau, di sini malam ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Ibrahim Durum; EXCO Kanan Negeri, Datuk Rais Yasin dan EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh

Ab Rauf turut berkongsi ‘Tiga Pesanan Merdeka’ yang boleh dijadikan asas teladan kepada semua rakyat di negeri itu.

Katanya, pesanan pertama, sekali pun Malaysia atau Melaka terus dihadapkan dengan sekian banyak cabaran, namun, jauhilah persepsi negatif dengan mengada-adakan propaganda yang boleh mencetuskan pergolakan sesama rakyat .

“Kedua, ayuh kita terus perkukuhkan semangat perpaduan dan suburkan nilai-nilai patriotisme dalam kalangan masyarakat dengan menanamkan roh semangat mencintai negeri dan negara ini.

“Dan ketiga, saya mengajak semua untuk bersama-sama kita menyematkan kebijaksanaan Hang Tuah dan keberanian Hang Jebat, pahlawan Melayu kebanggaan Melaka untuk terus melestarikan negeri ini supaya hasilnya kelak dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat,” katanya.

Justeru, beliau berkata, apa yang penting jaminan diberikan bahawa kerajaan tidak akan hilang fokus, malah akan terus membela untung nasib dan mendahulukan kepentingan serta rakyat.

“Kerajaan komited untuk melaksanakan agenda pembangunan yang dekat di hati rakyat seperti projek perumahan kos rendah, penambahbaikan projek kesihatan, meningkatkan pendidikan dan latihan kualiti serta kemahiran, pemberian kemasukan percuma di pusat pelancongan Melaka seterusnya menangani kos sara hidup rakyat.

“Semestinya, saya dan rakan dalam anggota pentadbiran kerajaan negeri akan terus berikhtiar gigih dan komited dalam memakmurkan Melaka mensejahterakan rakyat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top