PMNS sifatkan pencapaian penembak di Sukma Sarawak luar biasa

PMNS sifatkan pencapaian penembak di Sukma Sarawak luar biasa

sukan@hmetro.com.my

Seremban: Persatuan Menembak Negeri Sembilan (PMNS) menyifatkan kejayaan pasukan itu meraih 12 pingat emas, tiga perak dan empat gangsa pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2024 yang berakhir Sabtu lalu, sebagai pencapaian luar biasa.

Ketua jurulatih pasukan itu, Abdul Mutalib Abdul Razak berkata, kejayaan itu adalah hasil kerja keras sejak 2018.

“Pembentukan pasukan menembak ini bukan bermula dalam tempoh satu atau dua tahun kebelakangan ini, tetapi sudah mula sejak 2018.

“Malah jaguh menembak wanita kita, Gan Chen Jie mula menunjukkan kebolehan awal pada Sukma 2022.

“Saya sifatkan pencapaian pasukan kita pada edisi Sukma kali ini adalah luar biasa dan bangga dengan prestasi dipamerkan mereka,” katanya.

Abdul Mutalib berkata, pada peringkat awal pihaknya hanya menyasarkan untuk mendapatkan 10 pingat emas, namun tidak menyangka pencapaian diraih melebihi sasaran ditetapkan.

Bekas jaguh menembak kebangsaan itu berkata, pencapaian itu adalah catatan sejarah bagi pasukan menembak Negeri Sembilan, walaupun menghadapi pelbagai cabaran sepanjang membuat persiapan.

Chen Jie, 20, muncul atlet menembak Negeri Sembilan paling cemerlang selepas merangkul tujuh pingat emas selain dinobatkan selaku Olahragawati Sukma Sarawak.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top