Dortmund bergelut catat kemenangan sulung

Dortmund bergelut catat kemenangan sulung

Dortmund: Dua gol dari pemain gantian Jamie Gittens pada separuh masa kedua memastikan Borussia Dortmund menang 2-0 ke atas Eintracht Frankfurt di laman sendiri dalam perlawanan Bundesliga pertama mereka musim ini.

Dortmund, yang menduduki tempat kelima musim lalu, membuka jaringan pada minit ke-72 selepas bergelut untuk mencari rentak berikutan Frankfurt tampil dengan agresif.

“Hari ini sangat getir dan lawan kami adalah lawan yang baik. Banyak perkara belum berjalan lancar untuk kami,” kata penjaga gol Dortmund, Gregor Kobel, kepada wartawan.

“Kami kehilangan beberapa peluang, walaupun kami menguasai permainan secara keseluruhan. Ia bukan prestasi terbaik, tetapi ia adalah persembahan pertama yang baik. Terdapat banyak perkara baik yang boleh kami bina, tetapi juga beberapa perkara yang perlu kami tingkatkan.”

Pemain antarabangsa England bawah-21 tahun itu, menjaringkan gol dengan satu rembatan cemerlang dari sudut sempit yang masuk ke penjuru atas gawang lawan.

Frankfurt hampir memperoleh gol penyamaan pada lewat permainan tetapi harapan mereka untuk membawa pulang sekurang-kurangnya satu mata musnah apabila Gittens menjaringkan gol kedua hasil serangan balas pantas dalam masa kecederaan sekali gus memberikan jurulatih Nuri Sahin tiga mata pertama di bawah bimbingannya.

Dortmund juga mencatatkan kemenangan dalam perlawanan pembukaan liga mereka selama 10 musim berturut-turut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top