Afiq Zufar memperagakan pingat emas dimenangi dalam acara 50m compound lelaki.
KEPUTUSAN untuk beralih angin kepada acara compound kira-kira setahun lalu ternyata membuahkan hasil lumayan buat Afiq Zufar Mohamad Shah yang meraih pingat emas memanah Sukan Malaysia (Sukma) 2024.
Afiq Zufar, 20, yang kelihatan sebak ketika meraikan kejayaannya itu turut melahirkan kesyukuran kerana hasil kerja kerasnya menjalani latihan intensif dari pagi hingga petang akhirnya berbaloi apabila mengungguli acara 50 meter (m) compund lelaki.
“Saya tidak sangka sebab Sukma pertama (dan menjadi yang terakhir). Masa set pertama saya di ranking keempat tapi tetap cuba buat yang terbaik.
“Dulu saya main recurve tetapi nampak tidak boleh pergi jauh jadi saya tukar compound kira-kira setahun lebih.
“Mula-mula mak saya tidak bagi tukar, namun mak semakin memahami dan sentiasa suruh buat yang terbaik. Saya (terinspirasi) daripada (pemanah kebangsaan) Mohd Juwaidi Mazuki dan pernah berjumpa beliau sebelum ini,” katanya kepada pemberita di Lapang Sasaran Memanah, Petra Jaya di sini hari ini.
Afiq Zufar yang mula menceburi sukan memanah sejak berusia 13 tahun itu berkata antara prinsip yang dipegangnya untuk berjaya adalah sentiasa menghormati mereka yang lebih berusia dan tidak melawan jurulatih pasukan.
Terdahulu, Afiq Zufar dan pemanah Terengganu, Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki yang berkongsi 692 mata dalam acara 50m compound lelaki, membawa pulang emas dengan kelebihan panahan tepat.
Muhammad Aiman pula terpaksa berpuas hati dengan perak manakala Abdul Faathir Aqil Rafizam dari Perak merangkul pingat gangsa selepas mengutip 691 mata.
Sementara itu, pemanah Terengganu Nurul Syaza Husna Mahari yang hampir ‘menoktahkan’ perjuangannya dalam bidang sukan lega apabila rezeki penampilan kedua pada temasya dwitahunan itu berakhir dengan emas acara 50m compound wanita.
“Sepanjang memanah saya pernah berhenti sebab tak boleh ikut latihan yang sangat perit tapi dengan latihan itu juga saya dapat pingat. Memang berbaloi.
“Saya ini sebenarnya pemanah sederhana sahaja namun rezeki dan selalu ingatkan diri (tujuan utama) kenapa saya masuk Sukma.
“Ini kejayaan besar pertama saya untuk banggakan ibu dan ayah di kampung Kuala Terengganu,” katanya yang membidik 681 mata untuk mengungguli saingan wanita.
Pemenang pingat perak dan gangsa Hadira Hisham dari Wilayah Persekutuan dan Aira Nadirah Aizuddin (Sarawak) berkongsi 680 mata namun dibezakan dengan kelebihan panahan tepat.
Difahamkan sistem kiraan baharu diperkenalkan pada Sukma 2024 dengan kedua-dua mata yang diraih oleh pemenang pingat emas itu menjadi penanda aras bagi temasya berikutnya. – Bernama