Pengalaman beri keyakinan

Pengalaman beri keyakinan

georgie@hmetro.com.my

SUDAH cukup besar namanya di Indonesia, Afgan kian rancak melakar portfolio kukuh di persada muzik antarabangsa sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Tekadnya melangit untuk misi itu.

Afgan atau nama sebenarnya Afgansyah Reza, 35, pun sebenarnya sudah berhasil dengan pencapaian demi pencapaian di luar Indonesia.

Menerusi muzik Inggeris yang dipertaruhkan, ada peminat luar pastinya sudah mengikuti kariernya juga.

Sehingga kini, dia sudah bekerjasama dengan beberapa nama hebat yang menjadi kegilaan dunia seperti Jackson Wang dan Jessi. Dua figura berdarah Korea itu masing-masing tidak asing dalam radar muzik global.

Bagi Afgan, pengalaman bekerja dengan orang luar sememangnya mencetak lagi anjakan dalam dirinya selaku penghibur. Memang ada cabarannya, namun dia akui banyak hal baik dapat disemat dalam diri.

“Saya rasa semuanya memberi saya pembelajaran. Berjaya membikin album di luar negara, bekerjasama dengan penerbit dari England atau Amerika Syarikat, pasti cara kerja mereka berbeza.

“Mereka ada budaya bekerja yang berlainan dan kayakan lagi ilmu saya mengenai proses membikin muzik. Bekerja dengan artis antarabangsa pun sebenarnya terdapat cabarannya juga.

Saya perlu berkomunikasi dengan mereka dalam zon waktu berbeza. Mereka pun ada kesibukan masing-masing, ada cara pemikiran berbeza buat kerja mereka. Hal itu mengajar saya untuk jadi lebih fleksibel,” katanya.

Paling ketara, pengalaman itu merubah tahap keyakinan dirinya. Dia semakin percaya dengan kemampuan diri serta lantang bersuara dalam hal-hal yang berkaitan dengan proses kreativiti.

“Pengalaman itu juga membuatkan saya jadi lebih memahami orang lain. Memang membuka mata saya dan pada masa sama meningkatkan lagi keyakinan diri untuk jadi lebih jujur dalam menulis lagu, lirik, serta melodi.

“Saya ini kalau ikutkan seorang yang pemalu. Tapi kini saya lebih berani dan yakin untuk tegakkan idea lagu saya. Pengalaman sebegitu memang sangat banyak membantu,” katanya.

Dilihat lebih terarah bekerjasama dengan artis Korea Selatan, Afgan tidak pernah hadkan julat dengan siapa dia ingin bergandingan. Hakikatnya, dia sentiasa terbuka untuk luaskan lagi jaringan kerjasamanya.

“Bukan semata-mata bintang K-Pop saja. Baru-baru ini saya berkesempatan bekerjasama dengan Brian McKnight, David Foster di sebuah acara. Datuk Seri Siti Nurhaliza pun ada di sana.

“Kebetulan, McKnight adalah hero saya dan punca kenapa saya mahu menjadi penyanyi. Waktu saya masih kecil, saya berusaha cuba mencontohi kemampuan vokalnya. Apabila dapat peluang berduet dengannya, sehingga kini rasa macam tak percaya,” katanya.

Dalam pada mengejar misi itu, Afgan juga perlu pengorbanan lebih untuk ke luar dan kadang-kadang perlu tinggalkan Indonesia. Misalnya ke England ataupun Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, dia akui niat untuk berhijrah ke luar tidak pernah terdetik pun dalam fikiran. Dia masih sayang kerjaya kukuhnya di Indonesia meski ia bermakna kesibukannya jadi lebih berganda.

Sukar sebenarnya kalau mahu benar-benar menetap di sana dan pindah dari Indonesia. Kalau cuma luangkan masa dua ke tiga bulan di sana, kemudian pulang ke Indonesia, saya masih boleh lakukannya.

“Saya masih percaya Indonesia zon paling selesa buat saya. Untuk jangka masa pendek, bolehlah. Kalau untuk jangka masa panjang, belum terfikir lagi. Di Indonesia sendiri pun, saya terlalu banyak kerja,” katanya.

Penyanyi Jodoh Pasti Bertemu itu hakikatnya tidak menang tangan menguruskan jadual seninya kala ini. Kalau dapat rehat pun, dia banyak habiskan masanya dengan orang tersayang saja.

“Kebelakangan ini, saya tidak punya masa untuk diri sendiri. Terlalu banyak perlu saya usahakan dan tak putus bekerja. Misalnya memikir perancangan apa lagi rencana ke depan saya.

“Memang masih ada juga hari berehat dalam seminggu itu. Tapi saya cuma lakukan rutin-rutin biasa saja. Memang tiada masa untuk melancong dan berehat pun memang di Jakarta saja.

“Saya buat aktiviti kecergasan, luang masa bersama keluarga, anak-anak buah. Saya cuba pastikan diri dikelilingi dengan orang-orang yang positif. Agak membosankan sebenarnya,” katanya.

Menjadi antara penyanyi Indonesia yang saban tahun mengadakan konsert di sini, Afgan sekali lagi bakal beraksi dengan penyanyi senegaranya Lyodra atau nama sebenarnya Lyodra Margareta Ginting, 21, untuk sebuah konsert pada bulan depan.

Konsert anjuran Kharisma Music bersama Alha Alfa, Intan Gelombang dan Futurace yang bertemakan romantis cinta itu akan berlangsung di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.

Afgan dan Lyodra bakal menyajikan penonton dengan 20 lagu dalam durasi selama dua jam 30 minit. Mereka diiringi 12 pemuzik profesional yang diterbangkan khas dari Indonesia.

Kedua mereka hadir ke sini sempena sidang media konsert terbabit baru-baru ini. Ia adalah konsert sulung Lyodra di Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top