Awas! 'Mata-mata' SPRM sedang memerhati

Awas! 'Mata-mata' SPRM sedang memerhati

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Penempatan pegawai integriti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membabitkan kementerian di Sabah antara inisiatif berkesan bagi membendung pelbagai kes rasuah.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy berkata, pihaknya ketika ini masih menempatkan pegawai integriti bertauliah di semua kementerian di Sabah.

“Memang masih ada pegawai-pegawai integriti ditempatkan di unit setiap kementerian.

“Inisiatif ini memang berkesan kerana banyak maklumat disalurkan kepada pegawai-pegawai integriti yang kita tempatkan ini.

“Contohnya operasi `Op Fly pasport terbang’ yang kita jalankan di Sabah baru-baru ini. Ia adalah kolaborasi membabitkan pegawai integriti yang ditempatkan di Jabatan Imigresen.

“Ia antara kejayaan pasukan SPRM Sabah menerusi Ops Fly pada 17 Julai lalu. Kita berjaya merungkai sekaligus menumpaskan sindiket pemalsuan pasport atau ‘pasport terbang’ menerusi penahanan tiga anggota penguatkuasa sebuah jabatan di negeri ini, ” katanya pada Program Bual Bicara dan Boling SPRM Bersama Media Sabah semalam.

Program Bual Bicara & Boling SPRM Bersama Media Sabah dihadiri lebih 30 pengamal media dari pelbagai organisasi media nasional dan tempatan.

Selain sesi dialog, acara disusuli dengan perlawanan boling persahabatan antara media dan pegawai SPRM Sabah.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top