najiy.jefri@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah tidak akan berkongsi mengenai kisah rumah tangganya selepas membuat luahan mengenai memerlukan waktu untuk bekas suaminya, Aliff Aziz dan keluarga di Singapura untuk bertemu dua mereka, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4, baru-baru ini.
Bella yang membuat luahan itu di Instagram berkata, dia lega apabila segala yang terbuku di hatinya sudah dilepaskan dan tidak menjadi beban buat dirinya.
Katanya, dia juga mengaku khalayak sudah mula jemu dengan kisah rumah tangganya yang tidak berkesudahan.
“Saya yakin netizen, pengikut dan peminat bukan saja penat tapi tak selesa, muak dan sebagainya. Saya faham perasaan itu dan saya pun sebenarnya tak suka nak kongsi apa-apa sebab saya mahu ‘move on’ dan berkongsi perkara yang lebih positif berkenaan diri saya, kerjaya dan anak-anak.
“Tapi bila perkara ini tidak berhenti, saya rasa saya perlu letak ‘full stop’. Ada juga yang cakap saya tak patut pisahkan mereka dan sebagainya. Jadi, saya perlu cakap sesuatu supaya orang tahu saya tiada niat pun nak pisahkan.
“Saya mahu perkara ini jelas dan selepas ini kalau pihak sebelah sana cakap atau balas, saya tiada apa nak cakap dah. Saya sudah jelas segalanya dan kini lebih lega sebab sudah lepaskan semua. Selebihnya, saya nak ‘move on’ saja,” katanya.
Menurut Bella, perkongsian yang dibuat bukanlah sesuatu yang menyeronokkan untuk dibuat, sebaliknya dia sendiri sudah penat memendam rasa.
“Sebelum muat naik hantaran itu saya ada minta pendapat daripada orang tua saya dan mereka faham kalau dibiarkan saya akan lebih tertekan.
“Selepas ini saya mahu kongsi hal yang positif saja. Saya minta maaf kalau ada yang kurang daripada diri saya,” katanya.
Ditanya mengenai hak penjagaan anak, Bella berkata, kedua-dua pertama hatinya diserahkan sepenuhnya kepada dirinya.
Katanya, pada prosiding perceraian di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 13 Jun lalu, Aliff bersetuju untuk memberikan hak penjagaan penuh kedua anak mereka kepada Bella.
“Hak penjagaan sepenuhnya pada saya dan saya mohon ruang. Saya tak mahu benda yang lepas terjadi lagi. Itu saja,” katanya.
Bella ditemui di TikTok Awards Malaysia 2024 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini, malam tadi.
Di acara itu Bella memenangi kategori pilihan orang ramai iaitu Celebrity Of The Year.
© New Straits Times Press (M) Bhd