PRK Nenggiri: PN tawar KHIDMAT untuk pengundi

PRK Nenggiri: PN tawar KHIDMAT untuk pengundi

am@hmetro.com.my

Gua Musang: Calon Bersatu mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Mohd Riswadi Ismail malam ini mengumumkan manifestonya yang mengandungi 37 tawaran meliputi tujuh bidang fokus yang dirujuk dengan akronim ‘KHIDMAT’.

Huruf K membawa kepada maksud Khidmat Masyarakat, H merujuk kepada hak rakyat, I, intergriti dan Amanah, D, Daya Ekonomi, M, masyarakat berilmu dan Infrastruktur, M, masyarakat berilmu, bernilai murni dan sejahtera, A, anak muda berpendidikan dan berkemahiran, T, transformasi digital luar bandar.

Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, tawaran itu meliputi tujuh bidang fokus iaitu peneroka, Orang Asli, anak muda, warga emas, kampung tradisi dan usahawan.

Katanya, untuk peneroka, tiga tawaran dikemukakan iaitu mempercepatkan pemberian hak milik tanah lot kediaman dan kebun kepada peneroka KESEDAR selain membantu mempercepatkan pemberian hak milik tanah tapak kediaman untuk 580 bekas peserta Projek Agropolitan Kelantan Selatan Rabtau Manis.

Selain itu katanya, memperjuangkan pemberian hak milik tanah lot kediaman untuk generasi kedua Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT).

“Kepada Orang Asli pula, sekiranya dipilih menjadi wakil rakyat, lima tawaran untuk mereka iaitu melantik Pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyat dari kalangan Orang Asli, memperkasa peranan penghulu.

“Pada masa sama menaik taraf jalan ke perkampungan Orang Asli, penubuhan Pasukan Khas Pendidikan Orang Asli Nenggiri serta kerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) untuk menjaga kebajikan masyarakat itu,” katanya.

Pada masa sama Mohd Rizwadi berkata, untuk Kampung Tradisi beliau menawarkan untuk menyelesaikan isu tanah penduduk yang bertindih dengan hutan simpan kekal, menyediakan 20 lot tapak rumah kediaman bagi pemindahan penduduk, mengusahakan naik taraf jalan dan membantu memperluaskan sistem bekalan air tandak.

“Kita juga tidak meminggirkan golongan muda, antara tawaran kepada anak muda antaranya menaik taraf Infrastruktur sukan, menyelaras bantuan kemasukan asrama, universiti dan pencarian kerja untuk anak muda Nenggiri serta menyediakan kelas celik digital,” katanya ketika berucap semasa Tawaran PN untuk PRK Nenggiri di Renok, di sini, hari ini.

“Untuk tawaran wanita pula ialah penyediaan bantuan untuk ibu tunggal, usahawan, wanita, suri rumah, insentif penubuhan taska di tempat kerja dan bantuan cakna pekerja wanita, penyediaan kursus untuk meningkatkan kemahiran digital serta membantu usahawan wanita,” katanya.

Beliau berkata, tawaran kepada warga emas pula ialah menjamin kesejahteraan warga emas melalui program bantuan dan kebajikan seperti Skim Khairat Kifaalah dan kerjasama dengan agensi kerajaan bagi memperluas dan memperkasa pusta aktiviti warga emas.

“Selain itu tawaran turut diberikan kepada golongan usahawan dan keseluruhan penduduk Nenggiri termasuk peluang pekerjaan dan keusahawanan terutama bagi anak muda,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top