Dafi gembira berjaya dapat genggam sarjana

Dafi gembira berjaya dapat genggam sarjana

KUALA LUMPUR – Penyanyi dan juga pelakon Gadaffi Ismail Sabri, 34, merupakan salah seorang daripada 119 penerima Ijazah Sarjana dalam bidang pengurusan perniagaan daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang lebih mesra dengan panggilan Dafi itu merupakan graduan yang mengikuti program pengajian pembelajaran sepanjang hayat menerusi UTMSpace.

Ketika ditemui MalaysiaGazette, Dafi melahirkan rasa gembira kerana dia berjaya menamatkan pengajiannya itu.

Katanya, dia kini lebih bersemangat kerana hasratnya untuk menuntut ilmu ke tahap yang lebih tinggi telahpun membuahkan hasil.

“Sebenarnya saya ada perniagaan sendiri dan dengan sarjana yang saya miliki ini saya akan adaptasikannya di dalam bidang yang saya ceburi.

“Saya rasa dengan ijazah ini ia memberikan lebih peluang kepada saya dalam mempelajari sesuatu perkara berkaitan perniagaan dengan lebih luas,” katanya selepas Majlis Konvokesyen dan Makan Malam Graduan KLIEC 2024 di sini, malam ini.

Dalam pada itu, ditanya sama ada beliau akan meninggalkan dunia hiburan selepas memiliki kelayakan akademiki yang lebih tinggi, penyanyi yang popular dengan lagu Bila Terasa Rindu itu berkata, beliau tetap akan berkecimpung dalam bidang itu selagi dapat diterima peminatnya.

Katanya, dia mempunyai perancangannya sendiri dalam bidang tersebut lebih-lebih lagi lagu baharunya yang berjudul Hello akan diterbitkan tidak lama lagi.

“Sebenarnya saya masih lagi mahu bergelar artis dan terlibat dalam dunia hiburan ini. Cuma apa yang saya miliki ini (sarjana) akan membolehklan saya belajar sesuatu yang baru dan dapat mengembangkan minda,” ujarnya. – MalaysiaGazette

Scroll to Top