Tiada sebarang cadangan jual kilang – Felcra

Tiada sebarang cadangan jual kilang – Felcra

am@hmetro.com.my

Kota Bharu: Pengurusan Felcra Berhad mengesahkan tiada sebarang cadangan penjualan kilang yang dikemukakan pihaknya kepada Lembaga Pengarah untuk kelulusan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Idris Lasim berkata, sehingga kini tiada sebarang penjualan yang berlaku terhadap kilang di bawah agensi itu dan ia masih kekal beroperasi seperti biasa.

Katanya, pengurusan Felcra Berhad turut menafikan sebarang dakwaan di media sosial yang mengaitkan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dengan penjualan kilang kepada mana-mana pihak.

“Felcra Berhad adalah sebuah syarikat korporat yang dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) dan berada di bawah penyeliaan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

“Felcra Berhad menjalankan beberapa aktiviti utama dalam perniagaan yang memberi fokus kepada pembangunan luar bandar iaitu perladangan melalui program penyatuan dan pemulihan tanah (P&P),” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas dakwaan Pengerusi Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali Chegu Bard yang mendesak Pengerusi Felcra membuat penjelasan berhubung penjualan kilang sawit yang merugikan Felcra.

Dakwanya, ia rentetan beberapa sumber sejak hampir sebulan lalu tampil berjumpa dengannya dan menyerahkan beberapa set dokumen berkenaan penjualan kilang Felcra.

Mengulas lanjut Idris berkata, selepas 27 tahun dikorporatkan, ia berjaya mengagihkan keuntungan lebih RM8.11 bilion kepada hampir 107,000 peserta di seluruh Malaysia.

“Felcra Berhad turut membangunkan tanah secara komersial serta menceburi bidang agromakanan, selain menjalankan operasi perkilangan dan kejuruteraan termasuk pengoperasian kilang pemprosesan kelapa sawit.

“Sehingga kini, terdapat lima kilang pemprosesan kelapa sawit yang beroperasi secara milikan penuh dan diurus iaitu Kilang Sawit Seberang Perak, Perak, Kilang Sawit Maran, Pahang, Kilang Sawit Sungai Melikai, Johor, Kilang Sawit Bukit Kepong, Johor dan Kilang Sawit Felcra Nasaruddin, Perak,” katanya.

Menurutnya, Felcra Berhad akan terus memberikan komitmen untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memastikan bahawa kepentingan semua pihak sentiasa diutamakan demi memperkukuhkan kedudukan dalam industri pengilangan hasil agrikomoditi seterusnya menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi negara.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top