KUALA LUMPUR – Kejayaan Malaysia untuk menjadi Harimau Asia dalam bidang ekonomi ditentukan sepenuhnya oleh pemain industri dari pelbagai sektor perniagaan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kerajaan telah berjaya mengatasi cabaran pertama untuk merealisasikan cita-cita tersebut dengan menstabilkan politik negara.
“Alhamdullilah saya beri jaminan dari segi politik kita sudahpun stabil. Ini terbukti dalam Parlimen setakat ini kita sudah lebih dua pertiga.
“Langkah kedua ialah bagaimana kita hendak pulihkan ekonomi dan kewangan negara. Maka tumpuan untuk kita kembalikan ekonomi dan gambarannya sudah ternampak dengan pelancaran ekonomi Madani.
“Kita telah nampak bagaimana pelabur memandang Malaysia dan terbukti menjadi tarikan negara pertama di peringkat Asia. Ini dinyatakan oleh agensi penarafan antarabangsa. Bagaimana nak gembeling ini semua? Tuan-tuanlah yang menentukan kejayaan kita semua,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Anugerah Industri Malaysia (MINDA) 2024 yang dianjurkan oleh Persekutuan Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA).
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Malaysia Datuk Ramanan Ramakrishnan.
Juga hadir Pengerusi FMBA Datuk Seri Abdul Malik Abdullah dan Pengerusi Penganjur MINDA 2024 Dr. Sri Ganiesh Michiel.
Tambah beliau, untuk negara berkembang maju pihak industri perlu kehadapan dalam menguasai pelbagai tekonoli termasuk Revolusi Industri 4.0, ekonomi digital dan hijau serta pelabagi lagi.
“Saya menyeru untuk sama-sama menyumbang idea dan mengambil tindakan sebagaimana kami di Sarawak sering katakan ‘seiring sejalan’ atau ‘segulai sejalai’ bagi membangunkan negara.
“Apapun perancangan kerajaan, kalau tidak disambut oleh rakyat dan pihak industri, tidak bersatu dalam tindakan maka kita tidak akan mampu menggerakkan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya pada masa akan datang,” katanya.
MINDA berfungsi sebagai platform untuk mengiktiraf dan menghormati individu dan organisasi yang telah menunjukkan pencapaian luar biasa, inovasi dan komitmen yang tidak berbelah bahagi ke arah membentuk industri Malaysia.
Memasuki tahun kedua, MINDA 2024 menerima lebih 200 pencalonan bagi merebut 40 anugerah. Turut dilancarkan pada majlis itu adalah Malaysia Indusry Book of Record (Rekod Pencapaian Indusri Malaysia). – MalaysiaGazette