London: Daniil Medvedev menewaskan pemain nombor satu dunia, Jannik Sinner dalam pertarungan lima set hari ini untuk mara kali kedua berturut-turut ke separuh akhir Wimbledon.
Dia menewaskan lawannya dari Itali, yang mengalami masalah kesihatan pada pertengahan perlawanan.
Medvedev yang berada di ranking kelima menang 6-7 (7/9), 6-4, 7-6 (7/4), 2-6, 6-3 untuk membalas dendam kekalahan final Terbuka Australia kepada Sinner pada Januari lalu.
Kemenangan pada perlawanan selama empat jam itu juga mengakhiri kekalahan lima perlawanan berturut-turut menentang pemain Itali itu ketika Medvedev mara ke separuh akhir Grand Slam buat kali kesembilan.
“Saya tahu jika saya mahu mengalahkan Jannik, saya perlu menjadi yang terbaik. Dia bukan seorang yang boleh anda kalahkan dengan mudah lagi.
“Saya rasa pada satu ketika dia tidak berasa begitu baik tetapi dia mula berasa lebih baik jadi saya gembira berjaya kekal pada tahap terbaik,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd