Suami isteri hidap kanser buntu cari nafkah sara keluarga

Suami isteri hidap kanser buntu cari nafkah sara keluarga

am@hmetro.com.my

Tamparuli: Pasangan suami isteri dari Kampung Kayangat, di sini, buntu apabila tidak dapat mencari nafkah untuk menyara tiga anak selepas mereka disahkan doktor menghidap kanser.

Keadaan itu menyebabkan Geffrin Karim, 62, dan Heldah Gunting, 60, tidak lagi mampu bekerja, sekali gus hanya mengharapkan bantuan keluarga terdekat serta jiran untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Lebih memeritkan, tiga anak pasangan itu masih belajar di sekolah rendah dan menengah yang memerlukan biaya besar memastikan mereka mendapat pendidikan.

Geffrin berkata, dia tidak lagi berupaya melakukan sebarang pekerjaan sejak disahkan menghidap kanser oleh doktor.

“Sejak dikesan menghidap kanser, saya tidak lagi berupaya melakukan sebarang pekerjaan termasuk mencari nafkah keluarga.

“Berjalan pun saya terpaksa menggunakan topang.

“Saya disahkan menghidap arteritis menyebabkan pergerakan terbatas dan tidak dapat bekerja,” katanya ketika ditemui di Kampung Kayangat, di sini.

Dia berkata, sebelum ini, isterinya mengambil alih tugas mencari nafkah keluarga namun apabila isteri juga dikesan menghidap kanser, hidup mereka semakin sukar.

“Ketika ini, Heldah menunggu laporan perubatan untuk mengetahui tahap kanser dihidapinya,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau menziarahi keluarga itu selepas menerima maklumat pemimpin Kampung Kayangat.

Beliau bersimpati dengan keadaan menimpa keluarga itu tambahan pula pasangan itu mempunyai tiga anak.

“Kehidupan keluarga itu begitu mencabar untuk mencari sumber pendapatan bagi menyara keluarga,” katanya.

Sehubungan itu, Tangau berkata, pihaknya menerusi Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tuaran memberi sumbangan untuk meringankan beban mereka.

Beliau turut melancarkan tabung kecemasan bagi membolehkan orang ramai menyalurkan sumbangan kepada keluarga terbabit.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top