Dua ahli perniagaan nafi terima rasuah hampir RM7 juta

Dua ahli perniagaan nafi terima rasuah hampir RM7 juta

am@hmetro.com.my

Butterworth: Dua ahli perniagaan dihadapkan di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai hampir RM7 juta bagi membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), lima tahun lalu.

Tertuduh, Chan Eng Leong dan Tan Kok Siang masing-masing berusia 50 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap 10 pertuduhan yang dibacakan secara berasingan terhadap mereka di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.

Mengikut kesemua pertuduhan terbabit, mereka didakwa secara rasuah meminta suapan berbentuk wang tunai dan bayaran cek keseluruhan berjumlah RM6,675,150 daripada Pengarah syarikat GTM Land and Property Sdn Bhd, Goh Choon Kim.

Ia adalah sebagai dorongan untuk membantu menyelesaikan masalah duti eksais dengan JKDM bernilai RM108 juta yang dihadapi oleh syarikat Global Tobacco Manufacturers (Int) Sdn Bhd.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di sebuah hotel di Bukit Mertajam serta sebuah bank di Bayan Lepas pada 12 September 2019.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh bakal berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Wirna Ariffin, Muhammad Taufik Awaludin dan Mohd Syahzada Azad Sanusi manakala Eng Leong diwakili peguam, RSN Rayer dan Kok Siang pula diwakili peguam S Meharaj.

Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM100,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh bagi kesemua pertuduhan yang dikenakan terhadap mereka.

Dalam pada itu, tertuduh juga diminta mengikuti syarat tambahan dengan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Hakim kemudian menetapkan jaminan masing-masing RM10,000 bagi setiap pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Tertuduh juga diminta mematuhi menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri sebulan sekali di pejabat SPRM berhampiran serta dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Kes akan disebut semula pada 2 Ogos depan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top