khairil.ashraf@hmetro.com.my
Hulu Selangor: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima 12 laporan sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu berlangsung.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, daripada 12 laporan itu, dua tangkapan dilakukan serta mendakwa individu terbabit kerana kesalahan mempamerkan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kita nampak pengundi atau parti politik di sini yang memberi ceramah itu tidak ada isu sensitif. Keadaan di sini kita lihat sangat aman.
“Dari segi keselamatan, kita telah beritahu, ini bukan pertama kali PRK, PRU (Pilihan Raya Umum) atau PRN (Pilihan Raya Negeri).
“Kebanyakan anggota dan pegawai telah berpengalaman untuk mengurus, menyusun atur dan menentukan keselamatan ketenteraman terutamanya bagi pengundi dan juga petugas untuk bertugas dengan selamat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan jawatan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor, hari ini.
Mengulas lanjut, Razarudin berkata, polis mengeluarkan hampir 200 permit kempen semasa PRK Kuala Kubu Baharu.
Katanya, dari segi kempen, tidak ada mana-mana pihak yang menyentuh isu 3R (raja, kaum, agama).
“Tak ada yang menyentuh isu 3R. Isu (dimainkan) adalah isu pembangunan (dan) isu itu yang sepatutnya dibincangkan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd