am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kebanyakan penjawat awam terutama Gred 56 ke bawah meluahkan kegembiraan dan bersyukur atas pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
BKK Aidilfitri yang akan dibayar RM500 Jumaat ini akan diberikan juga kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen berjumlah RM250.
Bagi Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Hizwan Abdul Hamid, 43, berkata dia berterima kasih atas keprihatinan kerajaan terhadap penjawat awam.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan saya dan keluarga menjelang musim perayaan ini.
“Saya juga percaya bantuan ini dapat menambah baik ekonomi negara dengan membantu perkembangan perniagaan peniaga kecil di luar sana,” katanya.
Bagi kakitangan kerajaan, Mira Aryani, 38, yang mempunyai seorang anak istimewa berkata, inisiatif kerajaan ini sangat membantunya memandangkan kos penjagaan anaknya tinggi.
“Alhamdulillah, saya sangat bersyukur bila dapat tahu pengumuman yang dibuat oleh perdana menteri,” katanya kepada Harian Metro.
Pegawai polis, Eizlan Kamalsafa, 27, berkata, dia mendapat tahu mengenai bantuan itu di dalam aplikasi TikTok.
“Saya akan beraya di Negeri Sembilan tahun ini, jadi, duit ini sangat membantu kos perjalanan saya untuk pulang ke kampung,” katanya.
Sementara itu, guru, Nurazniza Mohamad, 44, berkata dia menganggap bantuan kali ini sebagai duit raya untuk dia dan keluarga.
Katanya, dia berharap inisiatif ini dapat membantu golongan miskin bandar dan sedikit sebanyak dapat memulih ekonomi negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd