Warga emas sesat ketika mendaki bukit ditemukan meninggal dunia

Warga emas sesat ketika mendaki bukit ditemukan meninggal dunia

am@hmetro.com.my

Shah Alam: Lelaki warga emas ditemukan meninggal dunia selepas dilaporkan hilang ketika mendaki di bukit berhampiran Persiaran Shorea, Seksyen U16 dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, mangsa yang berusia 64 tahun ditemui oleh orang awam jam 7.50 malam, hari ini.

“Mangsa mendaki bukit berkenaan seorang diri pada jam 9.30 pagi semalam dan menghubungi anaknya pada 3.43 petang selepas gagal menemui jalan pulang.

“Gerakan mencari dan menyelamat kemudian dibuat oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, namun gagal mengesan mangsa sebelum ditemukan meninggal dunia oleh orang awam, malam ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk tindakan selanjutnya.

“Kes diklasifikasikan sebagai ‘kematian mengejut’ dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini boleh salurkan kepada Inspektor Saipol Paizi (Pegawai Penyiasat Kes) di talian 012-5781435,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top