Kuala Lumpur: Polis menahan 13 individu yang dipercayai terbabit dengan kegiatan curi kenderaan dalam serbuan berasingan menerusi Operasi Lejang di sekitar daerah ini pada 16 hingga Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan itu, pihaknya menahan 13 lelaki terdiri daripada beberapa sindiket curi kenderaan berusia 15 hingga 55 tahun.
“Semua suspek yang ditahan mempunyai rekod jenayah berkaitan curi kenderaan serta dadah. Malah, ada di antara mereka tersenarai sebagai individu dikehendaki bagi kes dadah.
“Hasil serbuan itu, kami merampas lapan motosikal, tiga kereta, sebuah van serta 10 peket dadah dipercayai syabu dan heroin dianggarkan seberat sembilan gram,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke-214 di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, di sini, hari ini.
Eng Lai berkata, siasatan lanjut dilakukan mendapati antara modus operandi sindiket-sindiket berkenaan adalah mencuri kenderaan di kawasan perumahan serta flat.
“Selain itu, sindiket ini juga mensasarkan kenderaan yang mempunyai permintaan seperti motosikal jenis Honda dan Yamaha.
“Sindiket terbabit juga dipercayai menjual komponen kenderaan kepada rakan mereka atau individu lain menerusi media sosial seperti Facebook.
“Dengan penahanan 13 suspek berkenaan, kami percaya berjaya menyelesaikan 12 kes curi kenderaan yang dilaporkan di daerah ini khususnya Kepong dan Jinjang selain beberapa kawasan lain di sekitar Lembah Klang,” katanya.
Dalam kes berasingan, Eng Lai berkata, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan curi kereta dan lori dalam serbuan di sebuah bengkel di Bandar Baru Sentul, semalam.
“Hasil pemeriksaan di dalam bengkel itu, kami merampas sebuah kereta dan sebuah lori yang dilaporkan hilang di Sentul dan Kepong pada awal tahun ini.
“Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai 10 rekod jenayah berkaitan kes curi kenderaan,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati modus operandi suspek adalah mencuri lori serta kereta lama yang diparkir di kawasan tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
“Kenderaan yang dicuri itu akan diambil komponennya untuk digunakan membaiki lori atau kereta sama model.
“Kami percaya berjaya menyelesaikan dua kes curi kenderaan di Kepong dan Sentul dengan penahanan suspek berkenaan,” katanya.
Katanya, kedua-dua kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.