Pelaksanaan PKP beri kesan kepada trend jenayah

Pelaksanaan PKP beri kesan kepada trend jenayah

Kuala Lumpur: Penugasan polis sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac tahun lalu, bagi memerangi pandemik Covid-19, turut memberi tempias kepada trend pelakuan jenayah.

Kehadiran puluhan ribu petugas penguat kuasa atau omnipresence di merata tempat di seluruh negara menggerunkan penjenayah.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kewujudan beratus-ratus sekatan jalan raya (SJR) menyukarkan penjenayah untuk bergerak bebas.

“Kesan positif dari keadaan ini ialah menurunnya kes jenayah konvensional, namun dari sudut lain pula kes jenayah bukan konvensional didapati meningkat dan ini amat membimbangkan.

“Kes sumbang mahram, pornografi kanak-kanak, buli siber, penipuan atas talian dan bunuh diri amat sukar dicegah kerana dipercayai sebilangan besar mangsa berasa malu ataupun takut untuk tampil membuat aduan,” katanya ketika berucap Sempena Perbarisan Sambutan Peringatan Hari Polis ke-214 2021 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL), di sini, hari ini.

Perbarisan Peringatan Hari Polis ke-214 2021 disempurnakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hadir sama Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia Tan Sri Affendi Buang.

Beliau berkata, memang tidak dapat dinafikan masih wujud kumpulan pegawai dan anggota yang masih degil mengamalkan budaya rasuah.

“Bagi mereka status halal dan haram itu tiada perbezaannya namun PDRM sendiri mengorak langkah mengambil tindakan drastik menangkap dan mendakwa mereka yang menyeleweng.

“Alhamdulillah usaha ini turut dibantu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC),” katanya.

Scroll to Top