Bekas presiden yang juga bilionair maut dalam nahas helikopter

Bekas presiden yang juga bilionair maut dalam nahas helikopter

Santiago: Bekas presiden Chile, Sebastian Pinera yang juga bilionair, maut dalam nahas helikopter, pada Selasa.

Berita duka itu dikongsikan pejabat bekas presiden itu dalam satu kenyataan.

“Dengan rasa dukacita yang mendalam kami mengumumkan kematian bekas presiden Republik Chile.

“Pinera yang berusia 74 tahun meninggal dunia di Lago Ranco, tempat percutian popular kira-kira 920 kilometer (km) di selatan Santiago.

“Tiga lagi penumpang yang berada di dalam helikopter itu, terselamat dalam nahas berkenaan,” tulis kenyataan itu.

Pinera memegang jawatan presiden selama dua penggal bukan berturut-turut, antara 2010 dan 2014 dan sekali lagi antara 2018 hingga 2022.

Beliau adalah pemimpin sayap kanan pertama yang dipilih sebagai presiden selepas pemerintahan diktator, Augusto Pinochet (1973 hingga 1990).

“Beliau akan mendapat semua penghormatan dan pengiktirafan yang sepatutnya,” kata Menteri Dalam Negeri Carolina Toha, dari kerajaan Presiden Gabriel Boric, selepas mengetahui kematian Pinera.

Pinera sering menaiki helikopternya sendiri. Beliau pernah menjadi pemegang saham dalam syarikat penerbangan nasional negara itu dan mempunyai kepentingan dalam rangkaian televisyen dan perniagaan lain.

Majalah Forbes menganggarkan nilai kekayaan dimiliki Pinera bernilai AS$2.4 bilion (kira-kira RM11.4 bilion).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top