Rujuk MKN berkaitan SOP terkini – KPN

Rujuk MKN berkaitan SOP terkini – KPN

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihatkan orang ramai supaya merujuk laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mendapatkan prosedur operasi standard (SOP) terkini mengenai penganjuran majlis sosial atau program dalam tempoh pandemik ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pelaksanaan SOP bagi tujuan majlis sosial atau program seperti seminar, ceramah, kursus dan lain-lain adalah berbeza mengikut status kawalan pergerakan negeri yang bertumpu kepada aspek penjarakan fizikal serta keluasan sesuatu premis.

Katanya, status kawalan pergerakan di sesuatu kawasan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Selain itu, orang ramai juga diingatkan supaya mengimbas kod QR aplikasi MySejahtera atau merekodkan nama dan nombor telefon dalam buku catatan di setiap premis yang dikunjungi.

“Ia bertujuan bagi mengesan pergerakan individu dan kontak rapat dengan individu lain sekiranya wujud kes positif Covid-19 di sesebuah premis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, bagi pemeriksaan suhu pula, ia hanya perlu dilakukan sekali sahaja jika berada di premis atau bangunan yang sama seperti kompleks beli-belah.

“PDRM akan terus menjalankan operasi pematuhan SOP bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan-arahan yang dikeluarkan dalam usaha melandaikan lengkuk jangkitan wabak Covid-19,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Scroll to Top