Thailand lapor peningkatan ketara kes baharu Covid-19

Thailand lapor peningkatan ketara kes baharu Covid-19
Kementerian Kesihatan Awam mempercepat suntikan vaksin untuk pegawai imigresen yang mempunyai kontak dengan tahanan di pusat tahanan.

BANGKOK: Thailand melaporkan peningkatan mendadak kes baharu Covid-19 harian berikutan aktiviti pengesanan kes aktif di sebuah pusat tahanan imigresen di Bangkok.

Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) berkata Thailand mencatatkan 401 kes baharu dan satu kematian dalam 24 jam lalu, menjadikan jumlah jangkitan sebanyak 28,277 dan 92 kematian setakat ini. Kematian tunggal melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 75 tahun dari Bangkok mempunyai sejarah penyakit lain, disahkan positif Covid-19 pada 14 Mac dan meninggal dunia lima hari kemudian.

Dari 401 kes baharu, 383 adalah jangkitan tempatan termasuk 337 melalui pengesanan kes aktif dan 46 daripadanya membabitkan mereka yang mendapatkan rawatan di hospital.

Menurut kenyataan, 18 kes diimport yang dilaporkan itu termasuk dua kes membabitkan individu tiba dari Malaysia.

“Sebanyak 318 kes baharu dikesan di pusat tahanan imigresen di Bang Khen, dalam 24 jam lalu,” katanya.

Pegawai kesihatan telah meningkatkan usaha pengesanan kes aktif untuk membendung penyebaran virus kepada masyarakat.

Media tempatan melaporkan kluster baharu yang dikesan di pusat penahanan di Bang Khen melibatkan pendatang asing dari Myanmar, warga Vietnam dan Kemboja. Setakat ini, sekurang-kurangnya 395 orang di pusat tahanan Bang Khen telah disahkan positif Covid-19.

Sementara itu, sebuah hospital sementara dengan 120 katil telah didirikan di Kelab Sukan Polis Diraja Thailand di Vibhavadi Rangsit Road untuk menampung jumlah pesakit yang semakin meningkat di daerah itu.

Selain itu, Kementerian Kesihatan Awam juga mempercepat suntikan vaksin untuk pegawai imigresen yang mempunyai kontak dengan tahanan di pusat tahanan. Sehingga kini, 70 pegawai telah divaksin.

Scroll to Top