Sultan Kedah dianugerah ljazah Kehormat Doktor Falsafah

Sultan Kedah dianugerah ljazah Kehormat Doktor Falsafah

bhnews@bh.com.my

ALOR SETAR: Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah yang juga Tuanku Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) dianugerah ljazah Kehormat Doktor Falsafah (Pentadbiran dan Pembangunan Awam) pada Majlis Konvokesyen Diraja dan Pemasyhuran Pro-Canselor UUM di Istana Anak Bukit di sini, hari ini.

Penganugerahan itu dipersembahkan Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin yang juga Tuanku Pro Canselor UUM sebagai tanda menjunjung kasih ke atas baginda sebagai Canselor UUM sejak 2017.

Pejabat Sultan Kedah dalam kenyataan, berkata penganugerahan berkenaan mencerminkan keperibadian baginda yang mempunyai daya fikir yang cerdas, berpandangan jauh dan berwawasan.

“Selain itu, baginda mempunyai ciri pemerintah yang disayangi dan dikagumi serta sentiasa memikirkan apa yang wajar dan perlu untuk dilaksanakan demi kesejahteraan seluruh rakyat jelata.

“Pada masa sama, baginda sedar bahawa menjadi pemerintah dalam dunia hari ini cukup mencabar di mana baginda bukan sekadar menjadi raja di takhta, malah perlu menjadi pembimbing, penasihat dan peneraju yang dapat memberikan rakyat kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, baginda juga memahami mengenai peranan besar yang boleh dimainkan oleh dunia akademik dan institusi pendidikan sebagai pemikir dan perencana usaha dapat membangunkan lagi rakyat jelata.

“Sebagai Canselor UUM juga, baginda mencetuskan ilham dan menggerakkan usaha menubuhkan Pusat Sains, Teknologi dan Matematik (STEM) di UUM.

“Gagasan ini terhasil apabila baginda melihat bagaimana kredibiliti modal insan, yang juga aset penting negara dapat dijamin kelangsungannya sebagai sumber manusia yang mampu berdaya saing untuk masa hadapan,” katanya.

Kenyataan itu turut memaklumkan penganugerahan berkenaan juga adalah atas keprihatinan, iltizam dan usaha berterusan yang ditonjolkan oleh baginda dalam memperkasakan pentadbiran serta pengurusan Kedah bagi mengangkat sektor ekonomi dan pelaburan negeri ke peringkat lebih tinggi.

Pada majlis sama, Tunku Laksamana Kedah, Datuk Seri Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin dan Tengku Tan Sri Dr Mahaleel Tengku Ariff turut dimasyhurkan sebagai Pro-Canselor UUM yang baharu.

Turut berangkat ke majlis itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top