Mudahkan orang ramai laksanakan ibadah korban secara digital

Mudahkan orang ramai laksanakan ibadah korban secara digital

Kuala Lumpur: Pro-Vet Group of Companies Sdn Bhd (Provet) melancarkan Platform Tabung Korban bagi memudahkan orang ramai mengerjakan ibadah korban secara digital.

Pengarahnya, Mohd Subhi Mohd Musuri berkata, inisiatif platform itu diwujudkan bagi memudahkan orang ramai mendaftar sebagai peserta, sekali gus membolehkan ibadah korban dilaksanakan ketika perayaan Aidiladha.

“Idea ini tercetus apabila kebanyakan ibadah korban pada tahun lepas tergendala berikutan kekangan aktiviti membabitkan orang awam dan kebanyakan masjid ditutup kerana pandemik Covid-19.

“Platform ini diwujudkan bagi membuka mata masyarakat mengenai kepentingan pelaksanaan ibadah korban,” katanya ketika Majlis Pelancaran Kerjasama Program Tabung Korban Tahun 2021 Antara Provet dan Mydin Mohamed Holding Berhad (Mydin).

Turut hadir, Penanung Platform Tabung Korban, Datuk Dr Mohd Fadzilah Kamsah dan Pengarah Urusan Mydin, Datuk Ameer Ali Mydin.

Beliau berkata, jalinan kerjasama bersama Mydin itu bertujuan memudahkan peserta mengambil daging korban di Tabung Korban Center (TKC) seluruh negara.

Menurutnya, peserta hanya perlu menunjukkan kod QR menerusi aplikasi Korban Apps dan boleh menebusnya di 20 cawangan Mydin terpilih.

Katanya, Provet menyasarkan 2,000 lembu bagi ibadah korban didaftarkan menerusi platform digital berkenaan.

Sementara itu, Ameer Ali berkata, kolaborasi itu sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Mydin.

“Kami sedia maklum ramai ingin melaksanakan ibadah korban, namun kurang tahu platform sesuai dan dipercayai.

“Menerusi platform digital yang mudah diakses orang ramai ini diharapkan lebih ramai melaksanakan ibadah korban, sekali gus membantu golongan asnaf kurang bernasib baik,” katanya.

Scroll to Top