Blake selamat dikebumikan 

Blake selamat dikebumikan 

PETALING JAYA: Anjing pengesan milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Blake yang mati akibat barah limfoma selamat dikebumikan hari ini.

Jasadnya ditanam di Unit Pengesan JBPM (K9) Taman Seri Sentosa dekat sini dalam upacara tertutup yang dihadiri pegawai unit berkenaan.

Bahagian Pengurusan Korporat JBPM berkata, sebagai tanda penghormatan, pegawai menaburkan bunga di atas jasad dan pusara Blake.

“Seterusnya penghormatan terakhir diketuai oleh Pegawai Kanan Unit K9 JBPM dengan memberi tabik hormat dibarisi oleh pegawai-pegawai yang lain.

“Upacara dijalankan secara tertutup bagi menjaga sensitiviti pihak berkaitan,” kata kenyataan itu.

Blake terlibat dengan pelbagai operasi penyelamatan antaranya tragedi tanah runtuh di Batang Kali, tahun lalu.

Anjing daripada disiplin Cadaver itu disahkan mengidap barah limfoma pada 15 Ogos lalu dan terpaksa ditidurkan pada pada 4.38 petang semalam selepas dimasukkan ke Wad Anjing Kesayangan di Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia (UPM), 14 September lalu.

Selain tragedi Batang Kali, Blake turut terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa lemas di Tol Batu 13, Lorong 16, Kampung Kenangan, Selangor; Operasi SAR kepala air di Titi Hayun, Yan, Kedah dan SAR mangsa tertimbus di Kampung Temelong, Karak, Pahang.-UTUSAN

Scroll to Top