Saat hidayah datang menyapa

Saat hidayah datang menyapa

KETIKA Iblis diperintahkan untuk sujud kepada Nabi Adam A.S, tetapi ternyata Iblis enggan. Dia merasa lebih baik daripada Adam dan dia merasa iri, kenapa makhluk yang baru dan belum pernah beribadah kepada Allah S.W.T, dan aku disuruh sujud kepadanya. Iblis telah melakukan kesalahan dengan mengingkari arahan Allah S.W.T.

Malah, Iblis bukan sahaja tidak mentaati arahan Allah S.W.T, Iblis juga dengan angkuhnya mempersoalkan arahan tersebut:

Advertisement

“Apabila Allah bertanya kepada Iblis, “Apa sebab engkau tidak patuhi arahan aku?” lantas iblis menjawab:

“Aku tidak patut sujud kepada manusia yang Engkau jadikan dia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya.”

(Al-Hijr: 32-33)

Inilah salah satu bentuk keadaan yang menghalang hidayah untuk datang, iaitu kesombongan. Inilah perasaan yang menjadikan kita merasa lebih baik daripada orang lain:

“Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka…”

(Hujurat : 11)

Perasaan yang merasai kita lebih baik daripada orang lain inilah yang menjadikan susah untuk mendapat hidayah. Hal ini jugalah menjadikan Iblis terlaknat atau terusir. 

Ayat di bawah ini menunjukkan awal berlakunya peperangan antara kebenaran dan kebatilan, Allah menghalau Iblis dari syurga:

“Turunlah kamu dari syurga itu. Kerana kamu menyombongkan diri di dalamnya. Maka keluarlah, sesungguhnya kamu termasuk orang-orang yang hina.”

 (al-A’raf: 13)

Iblis berdoa dengan menyebut nama Allah, wahai Rabbku. Iblis percaya dengan hari kiamat. Dan Iblis percaya yang mengabulkan doa itu hanya Allah S.W.T. Kalau doa Iblis dikabulkan Allah S.W.T. Apakah kita sebagai orang Islam yang beriman, malas berdoa? Kan Allah dah kata, siapa yang berdoa Aku kabulkan:

“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Jika demikian, berilah tempoh kepadaku hingga ke hari mereka dibangitkan (hari kiamat).”

“Allah berfirman: “Dengan permohonanmu itu, maka sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh.

“Hingga ke hari – masa yang termaklum.”

(al-Hijr: 36-38)

Setelah Iblis mendapat penangguhan waktu, Iblis bersumpah. Iblis bersumpah dengan keagungan Allah S.W.T:

“Iblis berkata: “Wahai Tuhanku! Oleh kerana Engkau telah menyebabkan daku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalan-Mu yang lurus;

“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur.”

(al-A’raf: 16-17)

Apakah Iblis berjaya menjadikan manusia tidak bersyukur? Jawabnya benar!: 

“…Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hamba-Ku yang bersyukur.”

(Saba’: 13)

Inilah yang berlaku, sedikit Allah S.W.T turunkan ujian kepada manusia, maka di ketika itu ramai manusia akan lupa dengan nikmat Allah S.W.T, seolah-olah mereka tidak pernah mendapat nikmat sebelumnya.

Selepas kejadian ini, Iblis dikeluarkan dari syurga bersama ayah kita, Adam A.S dan emak kita Hawa. Asal-usul kita dan Iblis sama, dari syurga. Yang jelas, Iblis akan pulang ke neraka dan manusia, wallahu’lam. Dan Allah berkata, seandainya datang kepada kamu hidayah kami, maka kamu tidak akan rasa takut malah bersedia untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan mengenai masa lalu dan yang akan datang. Dan sesiapa yang menolak hidayah Allah, maka neraka tempat kembalinya dan kekal di dalamnya:

“Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dari-Ku (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjuk-Ku itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

“Dan orang-orang kafir yang mendustakan ayat-ayat keterangan kami, mereka itu ialah ahli neraka, mereka kekal di dalamnya.”

(al-Baqarah: 38-39)

Contoh di saat hidayah menyapa

1. Kisah tukang sihir Firaun.

Manusia ini tidak kenal Allah S.W.T. Mereka bertuhankan Firaun. Menjadi tukang sihir Firaun. Allah perintahkan Nabi Musa mendakwahi Firaun:

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya.

“Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut.”

(Thoha: 43-44)

Allah S.W.T menyuruh mendakwahi pemimpin (Firaun) dengan mendatanginya. Dan Allah menyuruh menggunakan perkataan yang lemah lembut agar dia mendapat hidayah. Setelah ditunjukkan mukjizat-mukjizat Allah S.W.T, Firaun sekadar mengatakan, semua itu perbuatan sihir Nabi Musa walaupun dia tahu semua mukjizat itu daripada Allah S.W.T. Kesombongan menjadikan dia menolak kebenaran, sama seperti cerita Iblis di atas:

““Nabi Musa menjawab: “Sebenarnya engkau (hai Firaun) telah pun mengetahui: tiadalah yang menurunkan mukjizat-mukjizat ini melainkan Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi, sebagai bukti-bukti yang menerangkan kebenaran; dan sebenarnya aku fikir, engkau hai Firaun, akan binasa.”

(al-Isra’: 101)

Di sini terbukti ketentuan Allah S.W.T yang indah, di mana Firaun mengumpulkan semua rakyat Mesir yang Nabi Musa tidak mampu berbuat begitu untuk menyaksikan pertarungan sihir tukang-tukang sihirnya dan Nabi Musa A.S. 

Kisah-kisah Nabi Musa ini sentiasa diulang-ulang di dalam al-Quran untuk menjadi pengajaran untuk pendakwah-pendakwah. Beratnya berdakwah kepada Firaun dan beratnya seksaan yang ditimpakannya kepada Bani Israel dan tukang-tukang sihirnya yang telah mendapat hidayah:

“Nabi Musa berkata kepada mereka: “Campakkanlah dahulu apa yang kamu hendak campakkan.”

“Lalu mereka mencampakkan tali-tali dan tongkat-tongkat mereka sambil berkata: “Demi kekuasaan Firaun, sesungguhnya sudah tetap kamilah orang-orang yang akan menang.”

(asy-Syuara: 43-44)

Di saat-saat akhir juga ahli-ahli sihir tersebut masih bertuhankan Firaun dan tiada tanda-tanda langsung ingin beriman. Mereka menyihir pandangan mata-mata orang sehingga apa yang mereka dan Nabi Musa A.S lihat adalah ular. Sebenarnya, mereka tidak merubah benda tetapi pandangan mata sahaja:

“Kemudian Nabi Musa pula mencampakkan tongkatnya, tiba-tiba tongkatnya itu menelan apa yang mereka pura-pura adakan (dengan sihir mereka).”

(asy-Syuara: 45)

Apa yang terjadi kepada tukang-tukang sihir tersebut?

“Maka (kemenangan Nabi Musa menjadikan) ahli-ahli sihir itu segera merebahkan diri: sujud,

“Sambil berkata: “Kami beriman kepada Tuhan sekalian alam,”

“Tuhan Nabi Musa dan Nabi Harun.”

(asy-Syuara: 46-48)

Baru sahaja mereka melakukan perbuatan syirik dan mendapat janji semakin dekat dengan Firaun sekiranya menang tetapi di ketika hidayah menyapa, mereka terus sujud beriman kepada Allah S.W.T.

Apa kata Firaun?

“Firaun berkata: “Patutkah kamu beriman kepadanya sebelum aku izinkan kamu? Sesungguhnya dialah (Musa) ketua kamu yang mengajar kamu ilmu sihir; oleh itu kamu akan mengetahui kelak (akibatnya). Demi sesungguhnya, aku akan memotong tangan dan kaki kamu dengan bersilang kemudian aku akan memalang kamu semuanya.””

(asy-Syuara: 49)

Apa jawapan tukang-tukang sihirnya? 

Mereka berharap agar dosa-dosa mereka diampunkan Allah kerana mereka sudah terlalu lama bertuhankan Firaun dan berbuat dosa. Akhirnya mereka benar-benar dibunuh dan disalib. Mereka telah bersedia menghadapi apa sahaja kemungkinan kerana mereka telah mendapat sapaan hidayah dan merasakan manisnya Iman. Allah sudah berjanji, sesiapa yang mengambil hidayah-Nya, mereka tidak akan takut dan berdukacita:

“Mereka menjawab: “(Ugutanmu itu) tidaklah menjadi hal! Sesungguhnya kami (tidak gentar), kerana kepada Tuhan kamilah kembalinya kami.

“Sesungguhnya kami amat berharap supaya Tuhan Kami mengampunkan dosa-dosa kami, kerana kamilah orang-orang yang mula-mula beriman (dalam peristiwa ini).”

(asy-Syuara: 50-51)

Ibnu Abbas Ketika menafsirkan kisah ini, beliau mengatakan, mereka di pagi harinya masih tukang sihir, petangnya mereka sudah mati syahid.

Lihatlah!, jarak Ketika hidayah itu datang. Ada orang belum beramal kebajikan sedikit pun, cuma ada iman. Mereka merasai manisnya Iman, tukang-tukang sihir Firaun itu tahu mana yang sihir dan mana yang bukan sihir. Mereka tahu ular Nabi Musa A.S itu, ular yang sebenarnya yang telah memakan tali-tali mereka. Di saat iman sudah bercampur dengan hati mereka, mereka redha akan apa sahaja kemungkinan-kemungkinan yang terpaksa mereka hadapi.

2. Kisah Raja Rom, Raja Hiraqal.

Ketika Abu Sufian berada di Rom, Syam. Dia ditanya mengenai pengikut Nabi Muhammad S.A.W. 

Soalannya, 

Ada tak pengikut Muhammad setelah beriman, mereka murtad? 

Jawapannya, 

Tidak ada yang murtad. (sebab Abu Sufian sendiri melihat Sahabat-sahabat Nabi diseksa sehingga mati, tetapi semasa penyeksaan itu, mereka masih mengatakan:

  لاَ إِلَهَ إِلَّاالله  

Lalu Raja Rom, Raja Hiraqal mengatakan, “Itulah iman!, Ketika cahayanya sudah masuk ke hati.”

“Aku yakin bahawa seruan dan ajakan Rasulullah S.A.W pada satu masa nanti pasti akan muncul sehingga Allah S.W.T berkenan memasukkan aku ke dalam Islam.”

Jadi di saat hidayah sudah menyapa, mereka akan bersedia diperlakukan apa sahaja sehingga sanggup dibunuh dan mengakui kebenaran.

3. Kisah Tsumamah Bin Utsal.

Rasulullah S.A.W menulis delapan surat kepada penguasa-penguasa Arab, antaranya kepada Tsumamah bin Utsal, pemimpin Bani Hanifah yang berada di Najad. Tsumamah tidak mahu menerima surat tersebut malah membunuh ramai Sahabat Rasulullah S.A.W sehingga Rasulullah S.A.W menghalalkan darahnya untuk dibunuh dan mengumumkannya di hadapan para Sahabatnya. Tsumamah berniat untuk menunaikan ibadah umrah (orang kafir di masa itu juga berumrah dan haji, mereka pengikut Nabi Ibrahim yang sudah bercampur dengan kesyirikan), maka dia berangkat meninggalkan bumi Yamamah menuju Makkah. Di Madinah, rombongannya telah ditangkap oleh pasukan keselamatan Rasulullah S.A.W dan Tsumamah diikat di tiang Masjid Nabawi.

Manakala Nabi S.A.W pergi ke masjid, dan hampir masuk ke dalamnya, beliau melihat Tsumamah terikat di sebuah tiang, maka beliau bersabda yang bermaksud, 

“Apakah kalian tahu siapa dia?”

Mereka menjawab, “Tidak, ya Rasulullah.”

Beliau berkata yang bermaksud, 

“Ini Tsumamah bin Utsal, tawanlah dia dengan baik.”

Kerana Islam itu tidak disebarkan dengan pedang dan Rasulullah S.A.W lebih suka kalau semua orang mendapat hidayah. Tsumamah dipenjara di Masjid.

Kemudian Rasulullah S.A.W pulang ke keluarga beliau seraya bersabda:

“Kumpulkanlah makanan lazat yang kalian miliki dan hidangkanlah kepada Tsumamah bin Utsal.”

Semua itu dilakukan kepada Tsumamah sebelum Rasulullah S.A.W bertemu dengannya dan berbicara kepadanya.

Selanjutnya Nabi S.A.W menemui Tsumamah, beliau ingin menyerunya kepada Islam secara perlahan, beliau bertanya kepadanya yang bermaksud:

“Apa yang kamu miliki wahai Tsumamah?”

Dia menjawab, “Aku mempunyai kebaikan wahai Muhammad, jika kamu membunuh maka kamu membunuh pemilik darah yang terhormat, namun jika kamu memberi maaf maka kamu memberi maaf  kepada orang yang berterima kasih. Jika kamu ingin harta, maka katakan saja nescaya kamu akan kami berikan apa yang kamu inginkan.”

Tsumamah menyebut satu-satu dengan rasa sombong tanpa menghormati Rasulullah S.A.W sebagai pemimpin umat Islam Madinah.

Nabi S.A.W meninggalkannya untuk solat dan membiarkannya dalam keadaan demikian. Keesokannya Nabi  S.A.W menemuinya kembali, beliau bertanya dengan soalan yang sama dan mendapat jawapan yang sama, tiga hari berturut-turut. Rasulullah telah laksanakan tarbiyah selama tiga hari tetapi Tsumamah tidak mahu menerimanya.

Lalu Rasulullah S.A.W melihat para Sahabatnya dan bersabda yang bermaksud:

“Lepaskan Tsumamah.” Maka mereka membuka ikatannya dan melepaskannya.

Tsumamah meninggalkan Masjid Nabawi, dia berlalu sampai tiba di sebuah kebun kurma di pinggir Madinah dekat al-Baqi’ yang ada mata airnya. Tsumamah menghentikan kenderaannya di sana. Dia bersuci dengan menggunakan airnya secara baik dan kemudian memusingkan langkahnya semula menuju masjid dan melafazkan:

“لا إله إلا الله محمد رسول الله” di hadapan sekumpulan orang dari kaum Muslimin.

Seterusnya Tsumamah menemui Nabi S.A.W dan berkata, “Wahai Muhammad, demi Allah di muka bumi ini tidak ada wajah yang paling aku benci melebihi wajahmu, namun sekarang wajahmu menjadi wajah yang paling aku cintai. Demi Allah, tidak ada agama yang paling aku benci melebihi agamamu, namun saat ini agamamu menjadi agama yang paling aku cintai. Demi Allah tidak ada negeri yang paling aku benci melebihi negerimu, namun saat ini ia menjadi negeri yang paling aku cintai.”

Kemudian dia menambahkan, “Dulu aku pernah membunuh beberapa orang dari Sahabat-sahabatmu, apa hukuman yang harus aku terima?”

Nabi S.A.W menjawab yang bermaksud: 

“Tidak ada dosa atasmu wahai Tsumamah, kerana Islam menghapus apa yang sebelumnya.”

Maka wajah Tsumamah bersinar setelah disapa hidayah, dia berkata, “Demi Allah, aku akan melakukan terhadap orang-orang Musyrikin sesuatu yang jauh lebih berat daripada apa yang telah aku lakukan terhadap Sahabat-sahabatmu. Aku meletakkan pedangku, jiwaku, dan orang-orangku demi membelamu dan membela agamamu.”

Tsumamah dengan izin Rasulullah meneruskan umrahnya mengikut syariat Allah S.W.T dan Rasul-Nya dan Rasulullah S.A.W mengajarkannya manasik umrah. Kemudiannya, Tsumamah bersama Sahabat-sahabatnya telah memerangi orang-orang murtad selepas kewafatan Rasulullah S.A.W demi menegakkan jihad di jalan Allah dan meninggikan kalimat-Nya.

Kesimpulan

Semoga Allah S.W.T memberikan kekuatan kepada seluruh umat Islam akhir zaman untuk terus istiqamah dan bersungguh-sungguh bangkit menyebar dakwah, tarbiyah dan kebenaran agar setiap hati-hati dapat disapai atau disentuhi oleh hidayah Allah S.W.T:

“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang mahu menerima petunjuk.”

(al-Qasas: 56)

Ini menunjukkan hidayah itu hak mutlak Allah. Cuma tugas kita ialah berusaha menyampaikan hidayah yang terkandung dalam al-Quran. Sama ada mereka terima atau tidak, semua itu kerja Allah. Allahu Akbar.

Wallahu’lam

FARIDAH KAMARUDDIN – HARAKAHDAILY 11/9/2023

Scroll to Top