KUALA LUMPUR – Skuad Malaysia bawah 23 tahun (B-23) menampilkan aksi cemerlang apabila mencatat kemenangan bergaya selepas berpesta gol membelasah Filipina 4-0 pada aksi kedua Kelayakan Piala Asia B-23 di Stadium Chonburi, Thailand sebentar tadi.
Ketua jurulatih, E. Elavarasan menurunkan barisan terkuat pada perlawanan ini termasuk penampilan dua pemain yang berpengkalan dari luar negara iaitu Luqman Hakim Shamsudin dan Nooa Laine.
Tidak sampai seminit perlawanan bermula, pesta gol dibuka apabila pemain tengah Selangor, Mukhairi Ajmal menyudahkan hantaran cantik Fergus Tierney dari sebelah kanan.
Jaringan itu menyuntik semangat pemain untuk terus mengandakan asakan dan 5 minit kemudian, giliran T. Saravanan menjaringkan gol kedua hasil umpanan Luqman Hakim dari sebelah kiri.
Pada minit ke-23, Harith mencatat nama sebagai penjaring apabila merembat masuk gol ketiga dari luar kotak penalti yang mudah menewaskan penjaga gol Filipina, Dimitrios Macapagal.
Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama namun babak kedua menyaksikan Elavarasan membuat pertukaran pemain dengan mengeluarkan Mukhairi Ajmal dan Luqman Hakim digantikan kepada Najmuddin Akmal serta Aiman Afif.
Pada minit ke-61, Saravanan sekali lagi mencatat nama sebagai penjaring selepas menambah gol keempat dalam situasi kelam kabut di kawasan kotak penalti.
Kemenangan tersebut meletakkan Malaysia di tangga teratas kumpulan H setakat ini selepas mengutip 6 mata serta memiliki kelebihan dari segi perbezaan gol.
Selepas ini, skuad Harimau Muda berdepan tugas sukar apabila dijadualkan menentang tuan rumah, Thailand pada Selasa ini di stadium sama.
Hanya juara kumpulan bersama-sama empat pasukan tempat kedua kumpulan terbaik sahaja akan layak beraksi di Piala Asia B-23 2024 yang akan berlangsung di Qatar, tahun depan.