Liga Super: Kelantan United ikat PDRM 2-2

Liga Super: Kelantan United ikat PDRM 2-2

KOTA BHARU : Kelantan United FC bangkit dari ketinggalan untuk mengikat PDRM FC 2-2 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, di sini sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan The Cops kempunan untuk meraih mata penuh meskipun dua kali mendahului pasukan tuan rumah.

Pada perlawanan itu, PDRM dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan dengan melancarkan serangan bertali-arus ke kubu tuan rumah namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah sekali gus menyaksikan keputusan terikat tanpa jaringan kekal hingga tamat babak pertama.

Seminit aksi babak kedua bersambung, The Cops berjaya merobek gawang tuan rumah melalui rembatan kencang Mohamad Nabil Ahmad Latpi yang berjaya menewaskan penjaga gol Kelantan United, Mohd. Shahril Sa’ari.

Minit ke-53, pelawat terus menggandakan jaringan apabila Uche Agba berjaya menawaskan Mohd. Shahril di pintu gol Kelantan United.

Dua minit berselang, Kelantan United memperoleh gol mereka menerusi Jose Elmer Porteria yang tenang memanfaatkan peluang terhidang untuk merapatkan kedudukan menjadi 1-2.

Hasil kerja keras dan usaha tanpa jemu, Sharvin Selvakumar yang menerima bola hantaran Nik Azli Nik Alias berjaya mengikat kedudukan menjadi 2-2 pada minit ke-70.

Aksi berbalas-balas serangan terus berlangsung selepas itu namun dihampakan oleh ketumpulan jentera penyudah menyaksikan keputusan 2-2 kekal hingga tamat perlawanan.

Keputusan itu menyaksikan Kelantan United berjaya memintas Kuching City FC untuk berada di kedudukan ke-12 dengan kelebihan satu mata manakala PDRM kekal di tangga kelapan carta Liga Super.-UTUSAN

Scroll to Top