Belum pulih lepas pembedahan, Achey berjaga-jaga lakonkan aksi lasak

Belum pulih lepas pembedahan, Achey berjaga-jaga lakonkan aksi lasak

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pelawak, Achey Bocey, 37, perlu mempertimbangkan dan berfikir semasak-masaknya sebelum menerima sebarang tawaran untuk melakukan aksi lasak dalam drama atau filem.

Kata Achey atau nama sebenarnya Mohd. Nasir Hamzah, perkara itu disebabkan keadaannya yang belum sembuh sepenuhnya selepas menjalani pembedahan untuk merawat masalah slip disc yang dialaminya.

“Saya sudah boleh bekerja tetapi perlu menjalani fisioterapi setiap pagi.

“Selepas ini saya kena pertimbangkan sekiranya diminta melakukan aksi lasak dalam lakonan. Bukanlah tak boleh buat, tapi kena berjaga-jaga dan maklumkan produksi tentang keadaan saya.

“Sebagai anak seni, saya mahu cabar diri untuk lakonkan babak yang lebih ekstrim demi kepuasan sendiri. Tapi buat masa ini, sementara keadaan belum membenarkan, saya kena berjaga-jaga,” katanya.

Achey berkata demikian ketika menjayakan sesi fotografi dan wawancara filem Mat Tudung Begins bertempat di Hotel Lyf Raja Chulan, Kuala Lumpur.

Bercerita lanjut, kata Achey masalah slip disc yang dihadapinya berpunca daripada tindakannya yang mengangkat bebanan tanpa teknik yang betul.

“Kadang kala, ketika menguruskan bengkel, saya terpaksa menolak motosikal sendirian tanpa bantuan sesiapa.

“Tetapi, saya mula rasakan sakit dan kebas-kebas di bahagian kaki selepas mengangkat anak saya, Nur Tiara Zinnirah, 5, masuk ke dalam kereta dari tingkat atas rumah kami.

“Doktor nasihatkan saya agar segera menjalani pembedahan untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih teruk. Sekarang, selepas pembedahan, saya lebih kerap berada di Batu Pahat, Johor untuk merehatkan diri,” jelasnya.

Scroll to Top