Tok Empat Pahang dapat bonus RM1, 000

Tok Empat Pahang dapat bonus RM1, 000

KUANTAN – Berita gembira kepada 543 ketua kampung yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung (JKKK) seluruh Pahang kerana bakal menerima bantuan sekali bayar RM1,000 bermula minggu depan.

Kerajaan Pahang bersetuju bayaran itu diberikan bukan sahaja kepada pengerusi JKKK malah kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Baharu (JKKB) serta Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Rancangan (JKKR).

Menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar Pahang, jumlah keseluruhan peruntukan sebanyak  RM675,000 melibatkan seramai 675 orang penerima meliputi 543 orang Pengerusi JKKK, 62 orang Pengerusi JKKB dan 70 Timbalan Pengerusi JKKR.

Program di bawah Bantuan Prihatin Pahang (BPP) merupakan tambahan RM750 kepada asal RM250 seorang diumumkan Menteri Besar Pahang,  Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam ucapan Belanjawan Negeri 2021 yang dibentangkan pada 16 November 2020 lalu.

Dalam ucapannya, Menteri Besar berharap para penerima bersyukur serta meningkatkan mutu perkhidmatan demi kemajuan dan kemakmuran kampung dan rancangan tanah yang diwakili mereka.

Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Bukit Sekilau, Mohamed Rashid Arifin, bayaran yang diberikan dapat menampung kos pentadbiran pengerusi di kawasan masing-masing.

“Kebanyakan ketua kampung di sini (Kuantan) bekerja sendiri dan mengharapkan elaun untuk menampung kos pengurusan, jadi pemberian ini sangat membantu.

“Daripada RM250 naik kepada RM1, 000, terima kasih kepada Menteri Besar.

Manakala bagi Md Jamil Pauzi, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Kemakmuran Kampung Tengah/ Kampung Jawa pula berhasrat mahu menyumbangkan wang itu bagi kepada tabung JKKK di tempatnya.

“Ia boleh membantu program ziarah kerana tiada peruntukan lain.

“Kebanyakan  ketua kampung menggunakan elaun RM500 yang diberikan setiap untuk kerja urusan pejabat dan lain-lain,” ujarnya.

Namun apa yang menjadi pertikaian rata-rata ketua kampung di  Pahang ialah bayaran tertunggak elaun JKKK sebanyak RM500 dari kerajaan Pusat sejak Januari lalu dan berharap ia dapat dijelaskan segera.

Tunggakan dipercayai berpunca ekoran perubahan pucuk pimpinan kerajaan Persekutuan dan Pahang yang merupakan negeri pembangkang sebelum ini. – MalaysiaGazette

Scroll to Top