Separuh mamalia, burung di dunia bakal pupus

Separuh mamalia, burung di dunia bakal pupus

LONDON: Kajian terbaharu mendapati Bumi bakal berdepan masalah kepupusan besar-besaran apabila hampir separuh daripada puluhan spesies haiwan kini dikesan menghadapi penurunan populasi yang lebih drastik.

Ahli Evolusi Biologi, Daniel Pincheira-Donoso memberi amaran, penurunan populasi haiwan kini semakin pesat, hampir dua kali ganda lebih banyak berbanding anggaran yang dilakukan pakar sebelum ini.

Beliau yang merupakan pengarang utama kajian terbaharu itu memberitahu Dailymail, siasatan pasukannya mendapati 48 peratus spesies semakin berkurangan sementara 33 peratus spesies yang sebelum ini dianggap tidak terancam kini mengalami kemerosotan serius.

Pasukan tersebut melihat lebih daripada 700,000 spesies termasuk mamalia, burung, reptilia, amfibia, ikan dan serangga untuk memahami populasi mana yang berisiko pupus atau mempunyai peluang untuk terus hidup.

Menurut Pincheira-Donoso yang berkhidmat sebagai ketua Makmal Macro Biodiversity di Queen’s University Belfast, pasukannya mengambil penilaian tradisional tentang risiko kepupusan daripada Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN) yang dikeluarkan tahun lalu.

Kumpulan itu kemudian membandingkan angka tersebut dengan data lebih luas tentang penurunan populasi spesies untuk melihat trend merentas masa menggunakan metodologi yang diluluskan oleh IUCN sebagai ukuran risiko kepupusan.

“Berdasarkan analisis terbaharu ini, mamalia, burung dan serangga adalah kumpulan yang menghadapi penurunan yang mengejutkan.

“Amfibia yang diketahui secara unik terdedah kepada penyebaran global bahan kimia industri, penyakit dan kulat, menghadapi beberapa risiko paling mengerikan secara keseluruhan.

“Namun berita lebih baik dilihat pada ikan dan reptilia, dengan lebih banyak spesies dalam kumpulan ini kelihatan mempunyai angka populasi yang stabil,” jelas Pincheira-Donoso.

Katanya, spesies yang paling teruk terjejas cenderung tinggal di kawasan tropika dengan perubahan iklim menjadi pemacu utama kepupusan.

Scroll to Top