ALOR SETAR – Seorang pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang dipercayai hilang ketika mendaki Telaga Tujuh, Gunung Matchincang di Langkawi petang semalam, ditemukan dalam keadaan selamat.
Ketua Polis Daerah Langkawi ACP Shariman Ashari berkata Mohd Ridhaudden Rosman, 32, yang bertugas di Bahagian Cari Lamat dan Bantuan Bencana (SAR) APMM Putrajaya itu dijumpai pada pukul 5 petang tadi.
Shariman berkata Mohd Ridhaudden dipercayai tersilap laluan ketika hendak turun dari gunung itu namun pegawai APMM itu berjaya turun ke kawasan parkir kereta kabel dan menghubungi isterinya yang ketika itu sedang berada di pos kawalan, dekat lokasi kejadian.
“Isteri mangsa telah memaklumkan keadaan suaminya kepada pasukan penyelamat. Mangsa hanya mengalami luka ringan dan telah dibawa ke hospital untuk diberikan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Terdahulu, media melaporkan polis menerima laporan berhubung kehilangan pegawai APMM itu pada pukul 12.47 tengah malam tadi.
Shariman dipetik sebagai berkata pegawai APMM yang berada di Langkawi sempena penugasan Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) itu dipercayai mendaki gunung secara bersendirian dan bukan atas arahan tugasan.- BERNAMA
ARTIKEL BERKAITAN: